Harga runcit petrol RON97 dan RON95 serta diesel tidak berubah bagi tempoh 16 hingga 22 Mei 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PM: Belum ada kertas dasar selaras subsidi RON95

SHAH ALAM, 2 JULAI: Belum ada kertas dasar berhubung penyelarasan subsidi petrol RON95 untuk dibawa ke Kabinet dalam masa terdekat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan kini melihat langkah penyasaran terhadap elektrik, diesel dan ayam.

“Kita perlu lihat dulu kesannya dan bagaimana reaksi rakyat kemudian sedia berunding apa keperluannya. Apa yang penting kita mesti hentikan subsidi bagi orang kaya dan orang asing.

“Itu saya tidak tolak ansur, bagaimana kaedahnya kita kena fikirkan supaya tidak bebankan rakyat. Jangan beri subsidi kepada golongan paling kaya dan orang asing seperti dilakukan sekarang… berpuluh tahun tiada kerajaan sanggup menangani masalah tersebut,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar menambah sebanyak RM58.1 bilion subsidi diperuntuk sepanjang tahun ini meliputi pelbagai sektor antaranya kepenggunaan, sara hidup, pendidikan, biasiswa, pinjaman dan faedah.

“Kita tak nafikan dan harus terima kenyataan kos sara hidup dihadapi di seluruh dunia tetapi mesti ditangani kerana ada golongan rentan yang tertekan.

“Kerajaan perlu cari jalan untuk ringankan beban dan salah satu caranya ialah tarik subsidi kepada mereka yang tidak berhak termasuk orang asing, berikan subsidi tambahan kepada rakyat,” katanya.

Perdana Menteri turut memaklumkan Malaysia kini sudah menjadi semikonduktor sekali gus melonjakkan pelaburan dalam negara.

“Bagaimanapun, kita berdepan dengan cabaran menyediakan infrastruktur tenaga hijau, air dan insentif lebih baik Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di universiti, giat mara dan institusi pendidikan mengikut keperluan semasa.

“Malaysia mendapat status destinasi pelaburan menarik dan cabarannya ialah menyiapkan dua infrastruktur yang perlu disegerakan,” katanya.


Pengarang :