Kontinjen Malaysia memperagakan pakaian corak belang Harimau pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik & Paralimpik Paris 2024 di Istana Negara, Kuala Lumpur pada 2 Julai 2024. Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
AGENDANASIONAL

Corak belang Harimau rekaan baharu pakaian kontinjen Olimpik Paris

KUALA LUMPUR, 2 JULAI: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memilih rekaan baharu yang menampilkan corak belang Harimau ‘lebih garang’ untuk pakaian rasmi kontinjen negara ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dalam kenyataan hari ini berkata perubahan tersebut dilakukan susulan maklum balas bercampur baur terhadap reka bentuk dan motif sebelum ini yang dilihat tidak menyerlah.

Mohamad Norza memaklumkan corak baharu yang dipilih berlatarbelakangkan warna hitam dengan belang Harimau berwarna kuning lebih jelas dan besar pada sebelah hadapan dan belakang jaket.

Beliau berkata rekaan kali ini turut menonjolkan logo MOM dengan Jalur Gemilang dalam warna asli, berbanding logo MOM berwarna emas yang dipaparkan pada corak terdahulu.

“MOM berasakan bahawa reka corak baharu ini melambangkan semangat Harimau yang sudah menjadi identiti Kontinjen Malaysia sejak kali pertama ia diperkenalkan pada Temasya Sukan Asia Tenggara atau Sukan SEA di Manila pada 2005.

“Adalah menjadi harapan MOM mewakili pemegang taruh termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) agar semangat Harimau menjadi inspirasi untuk atlet negara ‘mengaum’ di kota Paris nanti,” katanya.

Mohamad Norza berkata corak dan motif lebih terang itu diharapkan bukan sahaja menonjolkan identiti dan keseragaman kontinjen, malah yang lebih penting melambangkan keperkasaan, ketangkasan dan keberanian atlet untuk berjuang atas nama negara.

Sementara itu, bagi rekaan kemeja-T berkolar berwarna emas, beliau berkata MOM masih mengekalkan corak dan motif sama tetapi dengan lakaran logo MOM dengan warna Jalur Gemilang sebagai tanda menghormati bendera negara.

Beliau turut memaklumkan penaja pakaian rasmi kontinjen, Yonex Sunrise Malaysia telah memberi keizinan khas kepada badan induk itu untuk mencetak dan mengeluarkan jaket dengan fabrik daripada pengilang berbeza disebabkan faktor masa.

“Disebabkan faktor masa, MOM mendapat kebenaran daripada pihak penaja Yonex Sunrise Malaysia agar logo Yonex atau YY tidak dipaparkan pada kedua-dua jaket dan kemeja-T.

“Ini adalah kerana proses untuk Yonex Sunrise Malaysia mencetak dan menyediakan pakaian rasmi ini memerlukan proses perjanjian dengan pengilang sebagai prosedur operasi standard (SOP) jenama itu,” katanya.

Presiden MOM itu mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pihak Yonex Sunrise Malaysia yang sudah 10 tahun menjadi penaja pakaian rasmi kontinjen negara terutamanya atas kesediaan mereka membenarkan penghasilan pakaian rasmi baharu menggunakan fabrik dan reka corak berbeza.

Beliau berkata seramai 26 atlet yang mewakili negara perlu mempamerkan semangat juang tinggi dan kental bersesuaian dengan ciri-ciri dan motif belang Harimau yang ditonjolkan.

Menurut kenyataan itu, MOM juga menghargai kesediaan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yang menghormati kedudukan badan induk itu sebagai badan payung Persatuan Sukan Kebangsaan yang bebas dan diiktiraf oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) sebagai Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) sejak 1954.

Beliau turut berharap agar seluruh rakyat Malaysia menghulurkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada semua anggota kontinjen Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024 yang membuka tirai 26 Julai ini hingga 11 Ogos.

-BERNAMA

 


Pengarang :