Beberapa anjing yang dibawa untuk lesenkan pada program #luvyourpet Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) di Gelanggang Bola Keranjang, Jalan Bagan, Sungai Besar pada 29 Jun 2024. Foto Facebook Majlis Daerah Sabak Bernam
PBTSELANGOR

Galak pemilik ambil lesen anjing, MDSB tawar potongan harga 50 peratus

SHAH ALAM, 2 JULAI: Pemilik anjing yang berhasrat melesenkan haiwan berkenaan berpeluang menikmati potongan harga sehingga 50 peratus daripada Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB).

Pihak berkuasa tempatan itu menerusi Facebook memaklumkan tawaran yang dibuka sehingga 15 Julai ini bagaimanapun tertakluk kepada 100 anjing terawal.

“Pemilik anjing hanya perlu membayar RM15 seekor anjing untuk tempoh tiga tahun dan diberi cenderahati istimewa berupa sehelai t-shirt edisi khas bagi setiap lesen yang dibayar.

“Syaratnya hanya perlu datang ke Jabatan Pelesenan MDSB dengan membawa salinan kad pengenalan pemilik dan sekeping gambar anjing yang hendak dilesenkan,” katanya.

Pemilik haiwan mendapatkan khidmat pemeriksaan haiwan peliharaan mereka di kaunter yang disediakan pada program #luvyourpet Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) di Gelanggang Bola Keranjang, Jalan Bagan, Sungai Besar pada 29 Jun 2024. Foto Facebook Majlis Daerah Sabak Bernam

Sabtu lalu, MDSB turut menganjurkan program #luvyourpet di Gelanggang Bola Keranjang, Jalan Bagan, Sungai Besar dengan pelbagai pengisian menarik diadakan.

Program yang bermula 8 pagi hingga 3 petang itu turut membuka kaunter vaksinasi, pelesenan,  perundingan dan pemeriksaan kesihatan anjing dan kucing tanpa ubat-ubatan selain ceramah kebajikan haiwan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Sementara itu, Penyelaras Parlimen Sungai Besar Azhar Achil ketika berucap merasmikan program berkenaan turut memuji inisiatif MDSB yang cakna kepada nasib haiwan.

Penyelaras Parlimen Sungai Besar Azhar Achil berucap ketika merasmikan program #luvyourpet Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) di Gelanggang Bola Keranjang, Jalan Bagan, Sungai Besar pada 29 Jun 2024. Foto Facebook Majlis Daerah Sabak Bernam

“Saya berharap semua pihak terutamanya pemilik anjing atau kucing menyantuni dan menjadi tuan yang lebih bertanggungjawab kepada haiwan kesayangan mereka dengan menjaga kebajikan.

“Diharap mereka tidak membuang anjing atau kucing di tempat awam yang boleh menjadi suatu kacau ganggu dan akhirnya timbul isu yang lain kepada pihak berkuasa tempatan dan komuniti,” katanya.


Pengarang :