Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri ketika sesi soal jawab pada sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen pada 22 Februari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Jumlah kelahiran turun ketara sejak 2012, bina pusat subfertiliti atasi isu kesuburan

SHAH ALAM, 2 JULAI: Jumlah kelahiran hidup di negara ini mencatat penurunan sejak 2012, kata menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat.

Dato’ Sri Nancy Shukri berkata berdasarkan laporan yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah kadar kesuburan (TFR) negara menunjukkan penurunan daripada 2.1 orang anak pada 2010 kepada 1.6 orang anak pada 2022.

“Pada masa kini, isu penurunan kadar kesuburan menjadi isu global terutamanya dalam kalangan negara maju dan membangun dan berada di bawah paras penggantian.

“Pelbagai faktor yang menyumbang kepada penurunan TFR antaranya ekonomi, cara gaya hidup yang antaranya boleh mempengaruhi keputusan pilihan umur untuk berkahwin, bilangan anak termasuk masalah ketidaksuburan,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Nancy memaklum pelbagai inisiatif dijalankan bagi mengatasi masalah ketidaksuburan termasuk penubuhan pusat subfertiliti negara yang bakal dibangunkan di Shah Alam.

Jelasnya, pusat tersebut yang dilengkapi kemudahan rawatan dan perkhidmatan kesuburan serba moden dengan kos yang berpatutan dan bakal menjadi pusat rujukan perkhidmatan kesuburan di Malaysia.

“Selain itu, kementerian menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) juga menawarkan perkhidmatan rawatan kesuburan sejak 1979 pada kos yang berpatutan.

“Malah, terdapat juga klinik kesejahteraan lelaki yang menawarkan ujian saringan kesihatan termasuk khidmat nasihat,” katanya.


Pengarang :