EXCO Pertanian Ir Izham Hashim (tengah) bersama penerima sumbangan dalam Program Pembangunan Agropreneur Selangor Bantuan Nelayan di Dewan Kebudayaan Homestay Batu Laut, Tanjung Sepat, Kuala Langat pada 2 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Nelayan syukur, sumbangan negeri ringankan beban sedia peralatan ke laut

KUALA LANGAT, 2 JUL: Bantuan peralatan menangkap ikan bernilai RM400,000 sumbangan Kerajaan Negeri membantu 200 nelayan dari lima kawasan menyediakan kelengkapan turun ke laut.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Pelabuhan Klang berkata menerusi bantuan itu setiap nelayan menerima pukat hanyut, tong minyak, kotak ikan dan minyak pelincir.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Pelabuhan Klang Abdul Rahman Kachil, 62. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Sebagai contoh jaring atau pukat mungkin perlu ditukar tiga hingga enam bulan sekali dengan kos sekurang-kurangnya RM100 jadi jika ada bantuan ini kos itu dapat dikurangkan.

“Sebab itu perlu bantuan bersasar seperti ini sesuai dengan keperluan. Kita gembira Kerajaan Negeri beri apa yang nelayan perlukan,” kata Abdul Rahman Kachil.

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan bantuan program Pembangunan Agropreneur Selangor: Bantuan Nelayan yang disempurnakan EXCO Pertanian Ir Izham Hashim di sini, hari ini.

Sementara itu, nelayan dari Bagan Lalang Ahmad Shahril Tajudin, 36, berkata beliau perlu berbelanja sekitar RM1,000 sebulan untuk kos bahan api apabila turun ke laut.

Nelayan Bagan Lalang, Ahmad Shahril Tajudin, 36. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Kami memang sangat alu-alukan bantuan peralatan seperti ini kerana walaupun pada mata kasar nampak seperti tidak menelan kos tinggi sebenarnya kos agak banyak contohnya harga sebuah tong ikan hampir RM200,” katanya.

Ahmad Shahril antara 200 nelayan yang menerima insentif peralatan dan kelengkapan menangkap ikan berjumlah RM2,000 merangkumi pukat hanyut atau jaring, tong minyak, kotak ikan dan minyak pelincir.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim (tengah) menyampaikan sumbangan kepada penerima dalam Program Pembangunan Agropreneur Selangor: Bantuan Nelayan di Dewan Kebudayaan Homestay Batu Laut, Tanjung Sepat, Kuala Langat pada 2 Julai 2024. Hadir sama ADN Tanjung Sepat Borhan Aman Shah (dua, kiri). Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :