Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap merasmikan Persidangan Perniagaan Asean Selangor Ke-7 (SABC) sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 19 Oktober 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Saiz nilai ekonomi Selangor lebih RM400 bilion, atasi gabungan tiga negeri

SHAH ALAM, 2 JULAI : Selangor mencipta sejarah dengan nilai aktiviti ekonomi untuk tahun 2023 direkodkan berjumlah RM406.1 bilion mengatasi gabungan tiga negeri Johor, Sarawak dan Pulau Pinang.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata angka itu sekali gus menjadikan Selangor negeri pertama di Malaysia yang mempunyai aktiviti ekonomi melebihi paras nilai RM400 bilion.

“Saiz dan nilai ekonomi Selangor adalah lebih besar meskipun jika nilai ekonomi negeri lain seperti Johor, Sarawak dan Pulau Pinang digabungkan.

“Malah, Selangor juga mencatatkan pertumbuhan ekonomi paling tinggi pada tahun lalu dengan peningkatan sebanyak 5.4 peratus berbanding 2022,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Orang ramai menghadiri Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 22 Oktober 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Amirudin berkata ekonomi Selangor juga turut berkembang pesat selepas pentadbiran baharu mengambil alih negeri ini pada 2018 dengan peningkatan 25.59 peratus daripada RM103.9 bilion sejak 2017.

Menurutnya, prestasi utama ekonomi Selangor juga dipacu oleh sektor perkhidmatan apabila ia berkembang sebanyak 6.1 peratus sekali gus menyumbang 61 peratus daripada keseluruhan aktiviti ekonomi negeri.

“Industri pembinaan turut berkembang sebanyak 10.2 peratus pada tahun 2023, manakala industri pembuatan meningkat 2.0 peratus sekali gus menghampiri satu pertiga daripada keseluruhan ekonomi negeri, iaitu 29.4 peratus,” katanya mengulas data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Laporan DOSM hari ini turut menunjukkan sumbangan ekonomi Selangor kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nasional meningkat kepada 25.9 peratus pada 2023, bertambah lebih baik daripada 25.5 peratus tahun sebelumnya.

Pertumbuhan ekonomi negeri ini juga meningkat sebanyak 5.4 peratus, melebihi pertumbuhan sederhana seluruh negara pada kadar 3.6 peratus tahun lalu.


Pengarang :