Datuk Seri Najib Razak keluar dari kompleks mahkamah untuk bertemu penyokongnya selepas mahkamah berehat seketika bagi prosiding pendengaran rayuan terakhir bagi kesalahan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd pada 23 Ogos 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Mahkamah tolak permohonan Najib jalani tahanan di rumah

KUALA LUMPUR, 3 JULAI: Datuk Seri Najib Tun Razak gagal dalam usahanya untuk mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Tinggi bagi mencabar kewujudan titah adendum yang dikatakan telah diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16, agar bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjara enam tahun di rumah.

Hakim Datuk Amarjeet Singh menolak permohonan Najib untuk memulakan semakan kehakiman selepas mendapati semua afidavit yang difailkan bagi menyokong permohonan itu, termasuk afidavit yang difailkan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail itu, sekadar khabar angin.

“Dalam afidavit Ahmad Zahid, beliau berkata dia dimaklumkan oleh Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri) mengenai kewujudan titah adendum itu dan Tengku Zafrul memberitahunya bahawa Seri Paduka telah menunjukkan perintah itu kepadanya dan bahawa Tengku Zafrul juga telah mengambil gambar titah itu.

“Ahmad Zahid berkata dia melihat gambar titah adendum itu dalam telefon Tengku Zafrul, dikatakan mempunyai tandatangan Yang di-Pertuan Agong. Kenyataan Ahmad Zahid juga merupakan khabar angin semata-mata, dengan sumber maklumat dan kefahamannya ialah Tengku Zafrul. Ahmad Zahid sendiri tidak mengetahui mengenai titah adendum itu sendiri melainkan apa yang didengari daripada Tengku Zafrul,” kata hakim dalam penghakimannya.

Hakim Amarjeet berkata afidavit Wan Rosdy juga menyatakan bahawa sumber maklumat beliau mengenai titah adendum itu ialah Tengku Zafrul, justeru kenyataan dibuat Wan Rosdy juga khabar angin.

Hakim Amarjeet berkata kedua-dua afidavit yang difailkan Najib itu, hanya mengandungi kenyataan semata-mata tanpa menyatakan sumber dan kefahamannya terhadap titah adendum itu.

“Saya dapati kedua-dua afidavit itu semata-mata khabar angin. Selain itu, pemohon (Najib) telah mengesahkan bahawa peguamnya telah menulis surat kepada responden mengenai perkara yang sama, namun tidak menerima sebarang jawapan.

“Najib bergantung kepada sumbernya, iaitu Tengku Zafrul, tetapi sumber itu tidak mengesahkan afidavit tersebut. Tengku Zafrul telah cuba memfailkan afidavit tetapi mahkamah ini menafikannya kerana undang-undang tidak membenarkannya berbuat demikian pada peringkat tersebut,” katanya.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dan Ahmad Hanir Hambaly mewakili responden manakala peguam Najib Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah bahawa mereka akan memfailkan rayuan terhadap keputusan hari ini.

Najib, 70, memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman itu pada 1 April dengan menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta kerajaan Malaysia sebagai responden.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu memohon perintah agar kesemua responden atau seorang daripada mereka diarah untuk menjawab dan mengesahkan kewujudan titah adendum bertarikh 29 Jan 2024.

Najib juga memohon perintah jika titah itu wujud maka kesemua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Najib juga memohon perintah agar kesemua atau seorang daripada responden memberikan salinan titah utama oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda serta titah adendum selain memohon kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Najib, kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Beliau kemudian memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 Sept 2022 dan hukuman penjara Najib telah dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda pula dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

– BERNAMA


Pengarang :