BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Tegas pertahan Islam, Muhammad Ali ikon gerakan sivil Amerika

“Black Muslims itu nama yang diberi media,” katanya. “Itu bukan nama yang sah. Nama sebenarnya ‘Islam.’ Maksudnya keamanan. Islam ialah satu agama dan ada 750 juta penganut di seluruh dunia termasuklah saya. Saya bukan penganut Kristian. Mana mungkin saya menganut Kristian selepas melihat ramai orang kulit hitam dibom kerana berjuang agar persepaduan kaum diwajibkan. Mereka dibaling dengan batu dan digigit anjing, gereja Negro dibom namun pembunuhnya tidak dicari. Saya dapat panggilan telefon setiap hari. Mereka mahu saya pegang sepanduk. Mereka mahu saya berpiket. Kata mereka bagusnya kalau saya berkahwin dengan perempuan kulit putih kerana itu baik untuk persaudaraan. Saya tak mahu dibom. Saya tak mahu dibunuh dan dicampak ke dalam betung. Saya cuma mahu hidup bahagia dengan bangsa saya sendiri.”

“Saya juara heavyweight, tapi sekarang saya masih tak boleh tinggal di sesetengah kejiranan. Saya tahu bagaimana hendak elak jerangkap samar dan anjing. Saya elakkan semua itu dengan duduk dalam kejiranan saya sendiri. Saya bukannya seorang pembuat kacau. Saya tak percaya pada persepaduan kaum yang dipaksa. Saya tahu tempat saya. Saya tak akan paksa diri masuk ke dalam rumah sesiapa.”

“Orang label kami kumpulan pembenci. Mereka kata kami mahu ambil alih negara ini. Mereka kata kami komunis. Itu tak benar. Pengikut Allah orang paling baik di dunia ini. Mereka tak bawa pisau. Mereka tak galas senjata. Mereka sembahyang lima kali sehari. Kaum perempuan berpakaian labuh mencecah lantai dan tidak berzina. Apa yang mereka mahu hanyalah hidup dengan aman.”

Boleh dikatakan hanya ahli pasukan tinjunya sahaja yang tidak begitu ambil pusing berita penukaran agama Clay.

“Ada apa dengan nama?” kata Dundee dalam lenggok Shakespeare. Dundee memang tidak peduli agama apa yang dianuti peninjunya selagi dia masih datang ke gim,

“Satu-satunya urusan peninju yang kau tak boleh campur ialah agamanya. Begitu juga kehidupan cintanya. Itu pun kau jangan masuk campur. Macam mana nak buat pukulan kiri—lebih baik kau tumpukan soal itu.”

Namun di luar lingkungan kecil pasukannya, penukaran agama Clay satu kejutan terutama pada keluarganya. Meskipun bapanya bukan seorang Kristian yang warak, dia jelas marah, secara peribadi dan terbuka.

Dia berkata kepada wartawan yang anaknya telah “ditipu” oleh Black Muslims yang tamak.

“Saya tak akan tukar nama,” katanya. “Jika dia mahu, silakan. Tapi saya tidak. Malah saya akan gunakan nama Cassius Clay dengan sebaik-baiknya. Saya akan buat duit dengan nama sendiri. Saya akan buat duit dengannya.”

Persatuan Sukan Tinju Dunia menggantung juara baru tersebut kerana “kelakuan yang menjejaskan kepentingan sukan tinju.”

Bagaimanapun penggantungan itu tidak mempunyai kesan pun selepas suruhanjaya negeri yang utama, iaitu New York, California dan Pennsylvania, menegaskan bahawa mereka akan mengabaikannya.

Reaksi yang paling merumitkan datang daripada para penggerak dan pemerhati politik kulit hitam.

Akhbar-akhbar kulit hitam menyokong dan terlibat secara mendalam dengan gerakan hak awam, dan kebanyakannya sangsi dengan Nation of Islam.

Jaguh kulit hitam

Pada masa itu, iaitu bulan Februari 1964, negara sudah pun sedekad menyaksikan peristiwa-peristiwa penting hak awam: pembunuhan Emmett Till pada tahun 1955, pemboikotan bas Montgomery pada 1955–56, krisis sekolah-sekolah Little Rock pada 1957–58, mogok duduk pelajar di Nashville pada tahun 1960, Perjalanan Kebebasan pada tahun 1961, persepaduan Ole Miss oleh James Meredith pada tahun 1962, pergelutan Birmingham, pengeboman Gereja Sixteenth Street dan perarakan di Washington pada tahun 1963.

Ramai orang kulit hitam terutamanya kelas menengah dalam diam kagum dengan beberapa aspek Nation—caranya memulihkan bekas-bekas banduan, caranya mewakili ketegasan prinsip moral dalam kehidupan peribadi dan keselamatan di jalanan—namun mereka bimbang retorik konfrontasi yang lantang dan sebuah agama yang terlalu asing bagi Amerika arus perdana akan menjejaskan gerakan hak awam.

Malah Martin Luther King sendiri yang sedang berada di puncak kekuasaan dan pengaruh dalam gerakan hak awam tidak akan membiarkan sesuatu yang rentan seperti itu.

“Ketika Cassius Clay menyertai Black Muslims dan mula menggelar dirinya Cassius X, dia jadi jaguh pemisahan kaum dan itulah yang kita tentang,” katanya.

Pada penghujung 1960-an, ketika Ali mempertahankan pendiriannya menentang kerahan masuk tentera dan digantung daripada sukan tinju, banyak suara sama ada radikal mahupun tidak yang meraikan Ali sebagai susuk ingkar dan berani.

Eldridge Cleaver menyifatkannya sebagai seorang “revolusioner sejati” dan “jaguh kulit hitam ‘merdeka’ pertama yang berani bersemuka dengan orang putih Amerika.”

Kelak atlet-atlet seperti Lew Alcindor akan jadi radikal sehingga menukar agama mereka. Malah Red Smith juga akan turut ubah fikirannya.

Namun pada saat ini, tahun 1964, sangat sedikit orang, sama ada berkulit hitam atau putih, yang secara terbuka meraikan perubahan Clay.

“Saya teringat pada awal 60-an bagaimana kami rasa begitu selesa dengan Ali,” kata penulis Jill Nelson yang membesar di Harlem dan Upper West Side.

“Kami tak akan sertai Nation tapi kami suka Ali kerana sikapnya yang sangat melawan. Ia keingkaran dalam melawan rasa perlunya menjadi Negro baik, Kristian baik yang mengharapkan penghargaan daripada orang putih salih yang baik hati. Kami suka Ali kerana dia kacak, kuat dan banyak cakap. Pada masa sama dia juga lambang perasaan ramai orang kulit hitam pada masa itu, kemarahan kami, rasa kesedaran akan hak, perlunya menjadi lebih baik supaya dapat merasa hidup yang lebih baik walaupun sederhana, dan rasa kebangkitan menentang kekerasan.”

Petikan muka surat 239-244 buku Muhammad Ali: Raja Dunia Wira Amerika, terjemahan King of the World: Muhammad Ali and the Rise of an American Hero tulisan David Remnick. Ia boleh dibeli melalui bukuibde.com atau di toko Rencana, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya.


Pengarang :