Anggota bomba mengeluarkan mangsa daripada bas persiaran yang terbalik ketika menuruni Genting Highlands pada 29 Jun 2024. Foto Facebook Tanpa Nama
AGENDAJENAYAH

Kemalangan di Genting Highlands, pemandu bas didakwa tiada lesen, pandu berbahaya

RAUB, 3 JULAI: Seorang pemandu bas persiaran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas dua pertuduhan memandu secara berbahaya dan tiada lesen memandu sehingga menyebabkan kematian dua pelancong China di Jalan Genting Highlands, Bentong, pada 29 Jun.

S. Anand Kumar, 32, yang beralamat di Klang, Selangor, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Lelaki itu didakwa memandu dengan cara merbahaya sehingga menyebabkan kematian Zhang Ping, 58, dan Wang Suhong, 49, di KM16.5 Jalan Genting Highlands (hala turun), Bentong kira-kira 10.20 pagi pada 29 Jun.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000, jika sabit kesalahan.

Anand Kumar juga didakwa memandu bas pelancong berkenaan tanpa lesen pada hari dan masa yang sama dengan pertuduhan pertama.

Bagi pertuduhan ini, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM300 dan maksimum RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih tiga bulan atau kedua-duanya.

Majistret Siti Aisyah Ahmad membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan tidak boleh membuat sebarang permohonan untuk mengambil lesen sehingga kes selesai bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 7 Ogos bagi sebutan semula kes untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zamharir Muhammad Zuhid manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam insiden pada 29 Jun, dua lelaki warga China maut manakala 19 penumpang lagi terselamat selepas bas persiaran dinaiki dipercayai terbabas dan melanggar tembok pembahagi jalan di kilometer 16.5 Jalan Turun Genting Highlands.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar dilaporkan berkata pemandu bas persiaran berusia 32 tahun itu, didapati tidak mempunyai lesen memandu selain mempunyai 27 saman trafik lampau membabitkan pelbagai kesalahan.

— BERNAMA


Pengarang :