AGENDANASIONAL

Liputan 5G kawasan berpenduduk di Selangor capai 96.1 peratus takat 31 Mei

SHAH ALAM, 3 JULAI: Liputan rangkaian 5G di kawasan berpenduduk di Selangor mencapai 96.1 peratus, setakat 31 Mei.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata setakat 31 Mei, Digital Nasional Berhad (DNB) telah menyiapkan 1,668 daripada 1,845 sasaran tapak liputan 5G di negeri ini.

“Buat masa ini pembinaan rangkaian 5G tertumpu di kawasan bandar yang mempunyai aktiviti ekonomi yang tinggi.

“Selain itu peluasan ke kawasan lain termasuk luar bandar telah dimulakan dan akan diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Baling Hassan Saad yang ingin tahu perancangan kerajaan membina lebih banyak pencawang 5G di Dewan Rakyat hari ini.

Nie Ching berkata secara keseluruhan sehingga 31 Mei DNB telah menyiapkan sebanyak 7,114 tapak 5G merangkumi 81.7 peratus liputan di kawasan berpenduduk di seluruh negara.

“Setakat 31 Mei peratus liputan 5G di kawasan berpenduduk di Kuala Lumpur adalah 97.7 peratus, Putrajaya (97.3 peratus), Johor (83.9 peratus), Melaka (88.6 peratus), Negeri Sembilan (77.5 peratus) dan Pulau Pinang (91.1 peratus).

“Selain itu Perak (79.8 peratus), Kedah (80.1 peratus), Perlis (91.4 peratus), Pahang (65.5 peratus), Terengganu (72.7 peratus), Kelantan (66.4 peratus), Sabah (68.6 peratus), Labuan (94.4 peratus) dan Sarawak (62 peratus),” katanya.


Pengarang :