Orang ramai mendaftar Pangkalan Data Utama (Padu) pada sesi townhall berkenaan Padu di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam pada 23 Mac 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Daftar Padu: Orang ramai mulai sedar kepentingan, sokong buka fasa dua

GOMBAK, 3 JULAI: Pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (Padu) di bawah fasa dua membuka ruang kepada orang ramai yang ketinggalan untuk mengemas kini data, sekali gus mengelak tercicir bantuan atau subsidi bersasar.

Tinjauaan Media Selangor di sekitar Rawang mendapati peluang berkenaan disambut baik khususnya golongan luar bandar yang mengakui kurang didedahkan maklumat berkaitan pendaftaran Padu.

Hainuar Jamal.

Penduduk Tasik Puteri, Hainuar Jamal, 65, berkata dia terlepas mendaftar sistem Padu  kerana kurang pendedahan mengenai matlamat program tersebut.

“Sebelum ini saya rasa kurang didedahkan dengan maklumat berkaitan Padu tapi saya mulai sedar kepentingan program ini,” katanya ketika ditemui, di Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Batu Arang, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hainuar berpendapat kerajaan perlu turun padang menerusi gerakan untuk mengendalikan pendaftaran dalam kalangan golongan terpinggir.

Ashraf Guna Abdullah

Dalam masa sama, Ashraf Guna Abdullah, 62, juga mengakui pendaftaran Padu sebelum ini agak mengelirukannya yang kurang arif dengan penggunaan gajet.

“Ramai yang mahu daftar tapi tidak tahu, saya sendiri pun bimbang tersalah daftar.

“Tidak timbul isu tidak percaya dengan usaha kerajaan, cuma saya berpendapat maklumat PADU perlu disampaikan di peringkat akar umbi,” katanya.

Bagi penduduk Batu Arang, Mat Jaiz Yunus, 70, yang sudah mendaftar PADU sebelum ini menyarankan kerajaan supaya mewujudkan kaedah manual untuk golongan luar bandar.

Mat Jaiz Yunus

Tambahnya, masih ada golongan luar bandar yang tidak memiliki telefon pintar apatah lagi mendaftar secara atas talian.

“Elok kalau digunakan satu borang yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran, ia lebih mudah sama seperti pendaftaran iltizam untuk warga emas di Selangor.

“Kita perlu fikir golongan terpinggir, mereka bukan tidak mahu mendaftar tetapi secara realiti mereka tidak mampu,” katanya.

Sehingga 31 Mac lalu, seramai 11,554,134 juta individu sudah mengemas kini maklumat dalam sistem PADU. Semalam, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata pendaftaran Padu fasa kedua akan dibuka bagi membolehkan individu mengemas kini maklumat masing-masing.


Pengarang :