Pelari pecut muda negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi meraikan kejayaannya selepas memenangi perlawanan 100 meter lelaki dan memecahkan rekod kejohanan dengan catatan masa 10.28 saat pada Kejohanan Olahraga Terbuka Perak 2022 di Stadium Perak Ipoh pada 18 Jun 2022. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Pelari pecut negara manfaat peluang selepas terpilih ke Olimpik

Daripada Nurul Izzati Mansor

SURABAYA, 3 JULAI: Pelari pecut kebangsaan, Muhammad Azeem Mohd Fahmi bagaikan hilang kata-kata selepas mengetahui beliau terpilih untuk mengisi slot ‘wild card’ beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Atlet berusia 20 tahun itu berkata beliau seakan masih tidak percaya dirinya dipilih oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk berentap di temasya terbesar dunia itu.

Beliau bagaimanapun akan memanfaatkan peluang itu sebaiknya selain menjadikan kesempatan itu sebagai medan menambah baik prestasi dalam kariernya sebagai seorang atlet.

“Inilah peluang untuk saya maju dan menambah baik prestasi saya, Olimpik pentas besar, saya akan cuba yang terbaik sekurang-kurangnya buat rekod terbaik bagi musim ini atau rekod kebangsaan.

“Saya percaya diri saya, berita ini merupakan motivasi tinggi kepada saya, untuk buat (yang) terbaik,” katanya ketika ditemui selepas aksi 4×100 meter (m) lelaki Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 di sini hari ini.

Muhammad Azeem merangkul emas dalam acara itu bersama-sama Alif Iman Mohd Fahimi, Mohd Raimi Mustafa Kamal dan Mohammad Thaqif Mohammad Hisham dengan catatan masa 40.10s.

Terdahulu, KOM menerusi Presidennya Datuk Seri Shahidan Kassim mengumumkan tiket ‘wild card’ ke Sukan Olimpik Paris 2024 diberikan kepada Muhammad Azeem.

Seorang lagi calon wild card berkenaan ialah pelari 400 meter (m) wanita Shereen Samson Vallabouy.

Shereen yang ditemui berkata beliau menerima keputusan yang dibuat KOM itu dengan hati terbuka.

“Saya akan terus bekerja keras. Saya akan kembali lebih kuat tahun depan dan siapa yang dapat dialah yang berhak. Jadi saya tidak kecewa tentang perkara itu.

“Saya merancang untuk menyertai beberapa lagi kejohanan sebelum mengakhiri musim,” katanya.

Pada aksi final 400 meter (m) wanita Sukan AUG di sini, Shereen menyambar pingat emas dengan catatan masa 53.71 saat (s) meninggalkan pelari Thailand Benny Nontanam (55.09s) dan pelari tuan rumah Maulidah (56.51s) yang masing-masing meraih perak dan gangsa.

– BERNAMA


Pengarang :