Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika program Jualan Ehsan Rahmah DUN Sungai Tua di Flat Putri Laksamana, Gombak pada 17 April 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor sasar pengeluar produk tani bernilai tinggi, guna teknologi moden

SHAH ALAM, 4 JULAI: Selangor menyasar sebagai pengeluar hasil utama produk pertanian bernilai tinggi dengan menumpukan peningkatan hasil menerusi teknik dan teknologi moden.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kaedah itu digunakan berikutan penggunaan tanah sedia ada yang terhad di Selangor disebabkan kadar urbanisasi tinggi.

“Sekatan perdagangan memberi impak kepada Malaysia secara langsung dan mengganggu rantaian bekalan makanan global, menjadikan keterjaminan makanan sebagai agenda keutamaan Selangor.

“(Justeru) Selangor meletakkan sasaran untuk mencapai tahap sara diri yang lebih tinggi bagi beradaptasi dengan cabaran-cabaran dalam rantaian bekalan,” katanya ketika membentang Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama (RS-1), di sini.

Bagi merealisasi hasrat itu, Amirudin berkata Program Pemecut Agroteknologi Selangor memperkenal projek menggunakan teknologi pengeluaran makanan canggih seperti kompos, hidroponik dan fertigasi.

Beliau menambah dasar pengeluaran makanan (akuakultur dan ayam) turut dikaji semula untuk menyokong pemodenan bagi menghasilkan pengeluaran lebih tinggi dan bersih.

Katanya lagi, inisiatif baharu bawah Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) iaitu taman dan ladang agro pintar di Sungai Air Tawar, Jelutong Jati, Changkat Menteri dan Sungai Panjang menumpukan pengeluaran buah-buahan, sayur-sayuran dan daging.

“Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor pula bertanggungjawab memastikan stok makanan seperti beras, ikan, dan daging mencukupi dalam menghadapi ketidakstabilan bekalan akibat perubahan iklim dan krisis geopolitik,” katanya.

 


Pengarang :