Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membentang Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Bangunan Annex, Shah Alam pada 4 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Tahap kepuasan penduduk terhadap khidmat PBT hampir 90 peratus

SHAH ALAM, 4 JULAI: Tahap kepuasan penduduk terhadap perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor pada kadar 89.8 peratus pada 2023, melebihi sasaran 85 peratus menjelang 2025.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memberitahu ia perlu dikekal secara berterusan sekali gus menunjukkan kesungguhan dalam memberi perkhidmatan bermutu kepada rakyat.

Membentang Kajian Separuh Penggal (Rancangan Selangor Pertama (RS-1) pada 4 Julai, beliau juga mengakui beberapa sasaran berkaitan PBT belum tercapai sepenuhnya.

“(Ini) menunjukkan komitmen kuat dalam meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat menggunakan pendekatan digital dan meningkatkan kepuasan terhadap perkhidmatan tempatan,” katanya.

Bercakap dalam sidang Dewan Negeri Selangor, Amirudin berkata sebanyak 10 daripada 12 PBT memperoleh sistem penggredan 95 peratus dan ke atas mengikuti piawaian peringkat kebangsaan.

Mengingatkan prestasi itu tidak harus menyebabkan mereka leka dan menganggap tanggungjawab selesai, beliau berkata mutu perkhidmatan PBT membawa dampak terus kepada kehidupan rakyat.

Beliau merujuk prasarana awam asas meliputi jalan, kawasan riadah di taman, dewan, balai raya, kutipan pengurusan sisa serta perparitan terutama lokasi perumahan dan komersial.

“Pendekatan sentiasa ingin meningkatkan prestasi, kita dapat memenuhi permintaan rakyat yang mengharapkan mutu khidmat bertaraf tinggi dan boleh bersaing dengan negeri maju di luar negara,” katanya.


Pengarang :