AGENDAJENAYAH

Bahan kimia bocor di KLIA, bomba masih jalankan siasatan

SEPANG, 4 JULAI: Kebocoran bahan kimia dikesan berlaku di Southern Support Zone Sepang Aircraft Engineering, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata Pusat Gerakan Operasi Negeri menerima panggilan kecemasan menerusi MERS 999 berkaitan kebocoran bahan kimia di lokasi berkenaan pada 11.23 pagi.

“Enam pegawai bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat KLIA serta Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam terbabit dalam operasi itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Muhammad Nur Khairi Samsumin memaklumkan JBPM Selangor sedang mengenal pasti bahan kimia yang bocor itu.

Terdahulu tular di media sosial yang mendakwa berlaku kebocoran gas di kawasan berkenaan dan gambar yang menunjukkan sekumpulan individu berkumpul di satu lokasi.

– BERNAMA


Pengarang :