EXCO Infrastruktur & Pertanian Ir Izham Hashim menjawab soalan dalam Persidangan Dewan Negeri Selangor ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 4 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
EXCOSELANGOR

Selangor teliti cadangan bina enam lebuh raya baharu

SHAH ALAM, 4 JULAI: Kerajaan Negeri sedang meneliti dan menunggu jawapan daripada kerajaan persekutuan berhubung cadangan pembinaan enam lebuh raya baharu di Selangor.

EXCO infrastruktur berkata lebuh raya itu ialah Lebuhraya Putrajaya-Bangi (PBE), Lebuhraya Kuala Lumpur Northern Dispersal Expressway (KL NODE) dan Lebuhraya Senawang KLIA Salak Tinggi (SKLIA).

Menurut Ir Izham Hashim, tiga lagi cadangan ialah Lebuhraya Pintasan Lebuhraya Persekutuan (PINTAR), Lebuhraya Kuala Lumpur Shah Alam (KL SKYWAY) dan Lebuhraya Bertingkat Sungai Klang Link (SKL).

“Untuk cadangan pembinaan lebuhraya PBE, kita sedang menunggu keputusan rasmi daripada kerajaan persekutuan berhubung pelaksanaan projek ini.

“Bagi KL NODE kita masih diperingkat rundingan teknikal antara Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dengan syarikat pencadang dan tiga projek sedang dalam penelitian persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan wakil rakyat Bukit Gasing R Rajiv berhubung senarai cadangan lebuh raya baharu yang sedang dipertimbang di persidangan Dewan Negeri Selangor hari ini.

Izham menjelaskan status pembinaan Lebuhraya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) sedang dinilai semula susulan penambahbaikan yang dilaksana pemaju.

Jelasnya, penambahbaikan tersebut membabitkan penjajaran semula enam lokasi selain pemaju perlu melaksanakan semula laporan Penilaian Impak Sosial (SIA).

“Ada enam tempat yang telah dibuat penambahbaikan dan kita rasa ada mitigasi yang baik dalam cadangan baharu PJD Link itu.

“Namun ia perlu dibawa semula ke mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) untuk kita tahu adakah ia menepati kehendak penduduk setempat. Laporan SIA juga perlu dibuat semula,” katanya.

Pada 31 Julai tahun lalu, Kerajaan Negeri membatalkan permohonan pembinaan PJD-Link di Petaling Jaya berikutan pelan yang dikemuka tidak menepati syarat ditetapkan.

Sebelum ini, projek PJD-Link dibimbangi akan menyebabkan gangguan bunyi kepada pelajar dan keretakan bangunan sekolah berhampiran.

Lebuhraya berkembar (empat lorong) sepanjang 25.4 kilometer itu bermula selepas Plaza Tol Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) di Lebuhraya SPRINT, Damansara dan berakhir di Persimpangan Lebuhraya Bukit Jalil.

Projek itu bertujuan menambah baik kesesakan lalu lintas dan memenuhi pertumbuhan kenderaan masa hadapan di kawasan Greater Kuala Lumpur dan Lembah Klang.


Pengarang :