Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mebentang Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Bangunan Annex, Shah Alam pada 4 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
ADNSELANGOR

Terajui sumbangan KDNK negara, bukti pelabur yakin terhadap Selangor

SHAH ALAM, 4 JULAI: Kejayaan Selangor menerajui sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara membuktikan keyakinan pelabur tempatan dan luar negara terhadap kecekapan pentadbiran negeri.

Wakil rakyat Dusun Tua Datuk Johan Abd Aziz berkata pencapaian tersebut sangat membanggakan namun Selangor perlu memulangkan kembali hasilnya untuk dinikmati setiap lapisan masyarakat.

“Pencapaian ini sangat membanggakan namun harus diingat Kerajaan Negeri perlu memberi pulangan balik kepada rakyat bermula dari bayi sehingga akhir usia.

“Ia boleh diberikan sama ada dalam bentuk penyediaan kemudahan infrastruktur awam yang selesa atau program dan inisiatif yang boleh dirasai secara menyeluruh selaras hasrat kerajaan Madani,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahas pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama (RS-1) di persidangan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 2 Julai menunjukkan Selangor sekali lagi menjadi penyumbang tertinggi kepada sumbangan KDNK negara sebanyak 25.9 peratus tahun lalu.

Meningkat 0.4 peratus berbanding 2022, nilai ekonomi Selangor juga buat pertama kali mencecah RM406.1 bilion, sekali gus menjadi negeri pertama di Malaysia melebihi paras nilai RM400 bilion.

Dalam pada itu, Johan mencadangkan kajian terperinci di Hulu Langat dan khususnya Selangor berhubung pengurusan sisa pepejal di kawasan luar bandar.

Menurutnya lokasi pembuangan sampah terutamanya di kawasan kampung tidak diurus dengan baik sekali gus menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.

“Wujudnya juga tempat pembuangan sampah haram ini adalah disebabkan sistem pengurusan yang tidak jelas di antara pihak berkuasa tempatan dan penduduk,” katanya.


Pengarang :