Salah seorang penerima Bingkas Salina Damsah membeli barangan keperluan asas ketika tinjauan Media Selangor di Pasaraya Maju A&A, Gombak pada 15 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Syarat BINGKAS dilonggar, harap lebih ramai terima manfaat

SEPANG, 9 JULAI: Bantuan RM3,600 setahun yang disalur Kerajaan Selangor boleh digunakan isi rumah berpendapatan bawah RM5,000 untuk pelbagai perkara bermanfaat demi kepentingan keluarga.

M Khirtiga, 21, berkata Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) bukan sahaja boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan asas, tetapi bagi tujuan pendidikan anak termasuk perubatan.

Guru di sebuah sekolah antarabangsa di Kajang juga mengakui kelonggaran syarat permohonan baharu bantuan bawah Iltizam Selangor Penyayang tepat pada masanya bagi meringankan perbelanjaan keluarga berpendapatan rendah.

M Khirtiga. Foto ZAREEF MUZAMMIL / MEDIA SELANGOR

“Sudah tentu ramai bersyukur jika syarat bantuan dilonggar. Langkah ini boleh meringankan beban mereka yang berpendapatan bawah RM5,000 berbanding dulu RM3,000.

“Bantuan RM300 sebulan yang dibayar selama 24 bulan ini sangat membantu dan boleh guna untuk benda bermanfaat seperti beli barang dapur, pendidikan serta perubatan,” katanya.

R Raman, 60, pula berpuas hati dengan pelaksanaan inisiatif itu selain menyifatkan bantuan RM300 sebulan mampu membantu mengurangkan tekanan kewangannya setiap bulan.

Mengakui pendapatan bulanannya sebanyak RM1,500 sebagai pengawal keselamatan tidak cukup untuk menyara keluarga, warga emas yang menetap di Kampung Ampar Tenang, Dengkil sememangnya menantikan bantuan sedemikian.

R Raman. Foto ZAREEF MUZAMMIL / MEDIA SELANGOR

“Harga barang sekarang sedikit mahal, sewa rumah dan bil air pun kena bayar termasuk belanja anak sekolah. Jadi Kerajaan Negeri bantu kurangkan masalah rakyat (melalui BINGKAS).

“Saya baru dapat tahu permohonan BINGKAS dibuka. Saya harap permohonan saya diterima. Syukur jika dapat RM300 setiap bulan. Saya harap bilangan penerima bantuan bertambah,” katanya.

Pada 5 Julai, EXCO kebajikan mengumumkan syarat permohonan BINGKAS dilonggarkan kepada isi rumah bawah RM5,000 berbanding RM3,000 sebelum ini bagi memastikan lebih ramai menerima manfaat.

Anfaal Saari berkata bantuan RM300 sebulan selama 24 bulan boleh dimohon sehingga 15 Ogos menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) atau laman sesawang www.bingkasselangor.com.


Pengarang :