Kerajaan Selangor menyalurkan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) sebanyak RM300 sebulan atau RM3,600 setahun kepada keluarga kurang berkemampuan yang terbeban dengan kenaikan kos sara hidup. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Ibu tunggal lega dapat bantuan, tampung kos beli susu, lampin anak

Sheeda Fathil dan Suhaila Shahrul Annuar

HULU SELANGOR, 4 MEI: Ibu tunggal lapan anak bersyukur menerima Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) yang banyak membantu menjimatkan perbelanjaan bulanan keluarganya.

Penduduk Kuala Kubu Bharu Noorzamira Zulkifli, 38, membelanjakan wang pemberian Kerajaan Selangor RM300 sebulan untuk membeli susu formula anak berusia lima dan tiga tahun.

“BINGKAS meringankan beban kami. Harga susu formula agak mahal, syukur wang itu kami boleh guna untuk beli susu. Ada kalanya saya beli barang keperluan lain,” kata suri rumah itu ketika dihubungi Selangorkini baru-baru ini.

Ibu empat anak Normaliza Osman, 39, pula menggunakan bantuan bulanan itu bersamaan RM3,600 setahun untuk membeli barangan keperluan asas antaranya ayam, beras, telur dan tepung.

“BINGKAS sangat membantu. Jumlah yang diberi bagi saya cukup, saya syukur sangat dan terima kasih kepada Kerajaan Selangor,” kata yang berpindah ke Sri Damansara akhir tahun lalu.

Suri rumah, R Mala, 36, pula menganggap pemberian tersebut membantu keluarganya menyara enam anak berikutan pendapatan suami sebagai penoreh getah tidak menentu atau tiada langsung.

“Pendapatan tidak tentu kadang-kadang RM40 sehari atau tiada langsung. Lebih teruk kalau musim hujan kerana tidak boleh menoreh. Dia ada buat kerja sambilan tapi anak kami ramai.

“Bingkas sangat membantu untuk kami beli makanan. Sekurang-kurangnya tidaklah berlapar dan masih ada makanan yang dibeli dengan duit ini,” kata penduduk Taman Wawasan di Batang Kali.

Suri rumah S Lalitha, 29, yang suaminya bekerja sebagai pemandu lori lega kerana BINGKAS membantunya untuk membeli keperluan lampin pakai buang dan susu formula anaknya setiap bulan.

“Anak sulung saya berusia lima tahun, hanya minum susu sahaja dan tidak makan makanan pejal.

“Kos susu mahal, jadi BINGKAS sangat membantu. Saya harap ia diteruskan selepas ini,” katanya.

Inisiatif BINGKAS menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS IT (Ibu Tunggal) merupakan skim yang terkandung dalam Iltizam Selangor Penyayang (ISP) membabitkan peruntukan RM108 juta.

Menerusinya, setiap keluarga yang layak akan menerima bantuan RM300 sebulan atau RM3,600 setahun dan bayaran diagihkan menerusi aplikasi e-dompet Wavpay bagi memudahkan penerima berbelanja.


Pengarang :