Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan Wan Jamal Abdul Salam Wan Long (dua, kiri) bersama pegawai menunjukkan sebahagian bungkusan yang mengandungi 3,231,960 batang rokok seludup bernilai RM2.1 juta termasuk cukai yang berjaya dirampas dalam Operasi Darat pada 29 Jun hingga 5 Julai lalu pada sidang media di Wisma Kastam Padang Bongor, Kota Bharu pada 8 Julai 2024. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Kastam Kelantan rampas rokok seludup bernilai RM2.1 juta

KOTA BHARU, 8 JULAI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas sebanyak 3.2 juta rokok seludup pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM2.1 juta dalam operasi darat pada 29 Jun hingga 5 Julai lepas.

Pengarahnya Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata kesemua rokok berkenaan dirampas susulan penahanan sebuah lori 11 tan di laluan Jeli-Gerik.

Beliau berkata rokok yang dirampas itu dipercayai untuk pasaran utara Semenanjung terutamanya kepada pekerja warga asing.

“Dalam operasi itu, kastam turut menahan seorang lelaki berusia 49 tahun namun telah dibebaskan dengan jaminan dan kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Sementara itu, Wan Jamal berkata pihaknya telah menyiapkan kertas cadangan kepada Ibu Pejabat JKDM di Putrajaya bagi mewujudkan sebuah Pejabat Cawangan Penguatkuasaan Kastam di Gua Musang.

Beliau berkata pihaknya yakin dengan adanya pajabat cawangan itu pengoperasian akan lebih lancar dan berkesan termasuk tindakan lebih pantas dapat diambil setiap kali menerima maklumat.

“Buat masa sekarang pejabat penguatkuasaan kastam hanya ada di Kota Bharu dan jaraknya amat jauh dengan Gua Musang.

“Kami berkemungkinan akan menempatkan seramai 14 anggota di Gua Musang dan akan beroperasi secara bergilir-gilir setiap minggu,” katanya.

Wan Jamal turut meminta orang ramai membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan dan menasihati mereka agar tidak membabitkan diri dengan aktiviti haram.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara daripada segi ketirisan hasil malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

“Oleh itu, kastam menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri,” katanya.

— BERNAMA


Pengarang :