EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim (lima dari kiri) ketika meninjau kerja pembinaan loji jana kuasa hidro di Sungai Batang Kali, Hulu Selangor pada 3 Julai 2024. Foto Facebook Izham Hashim
EXCOSELANGOR

Pembinaan loji hidro mini Sungai Batang Kali siap setahun lebih awal

SHAH ALAM, 9 JULAI: Loji jana kuasa hidro di Sungai Batang Kali, Hulu Selangor yang dibangunkan Worldwide Hidro Energy Sdn Bhd dijangka siap suku pertama tahun depan.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata sasaran itu setahun lebih awal berbanding jadual asal yang memberi manfaat lebih cepat kepada ramai pihak sekitar kawasan berkenaan.

“Setakat ini kemajuan projek di tahap 69 peratus dan dijangka siap pada suku pertama 2025, setahun lebih awal dari tarikh siap.

“Apabila siap, stesen ini akan membekalkan 5.1 megawatt ke Pencawang Masuk Utama (PMU) Ulu Yam dan akan memperkukuhkan kestabilan kuasa elektrik di kawasan setempat,” katanya di Facebook.

Terdahulu Izham melawat lokasi projek bagi meninjau kerja pembinaan loji terbabit.

Tahun lalu, Dato’ Menteri Besar berkata pentadbiran aktif meneroka industri tenaga sebagai usaha memacu ekonomi termasuk pembinaan stesen solar dan mini hidroelektrik selain pembinaan loji sisa kepada tenaga (WTE).

Antara loji dibangunkan di Pulau Indah di Klang sementara loji WTE di Jeram, Kuala Selangor serta bakal ada di Tanjung 12, Kuala Langat.


Pengarang :