Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat replika tapak loji sisa kepada tenaga (WTE) di tapak pelupusan Sanitari Jeram pada 17 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor teroka industri tenaga, pacu ekonomi secara mampan

SHAH ALAM, 24 OKT: Kerajaan Negeri aktif meneroka industri tenaga bagi memacu ekonomi antaranya dengan membina loji jana kuasa di Pulau Indah, Klang yang dijangka siap awal tahun depan .

Dato’ Menteri Besar berkata pihaknya turut membangunkan sub tenaga menggunakan solar dan mini hidroelektrik selain pembinaan loji sisa kepada tenaga (WTE) di Jeram, Kuala Selangor.

“Kita sudah bangunkan WTE di Jeram dan akan datang di Tanjung 12 (Kuala Langat). Beberapa tahun lagi pihak lain juga akan berminat bangunkan WTE.

“Harapan kita ialah dalam beberapa tahun lagi dapat uruskan antara 7,000 hingga 8,000 tan sampah yang dihasilkan setiap hari oleh rakyat negeri ini dan sisa ini tidak lagi di lupus di tapak pelupusan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berucap pada sesi libat urus bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri di Kuala Lumpur hari ini, yang turut dihadiri Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Minggu lalu Amirudin merasmikan majlis pecah tapak loji WTE di Jeram, loji urus sampah pertama negeri ini dan terbesar dalam negara.

Dijangka beroperasi pada 2026, loji berkenaan dijangka mampu memproses 3,000 tan sampah pepejal sehari selain merangsang peluang ekonomi lebih tinggi.

WTE mampu mengurus sisa dengan cekap sekali gus mengurangkan pencemaran bau, air larut lesap atau pelepasan gas berbahaya.


Pengarang :