Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Amanat Perdana Menteri Kepada Penjawat Awam Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban pada 7 Julai 2023. Foto AFIQ HAMBALI/PEJABAT PERDANA MENTERI
AGENDANASIONAL

Mekanisme pelarasan gaji penjawat awam diumum bulan depan

SHAH ALAM, 11 JULAI: Mekanisme pelarasan gaji penjawat awam akan diumumkan serentak dengan pelancaran Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang dijadualkan Ogos depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata perkara itu akan dimaklumkan bersempena Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-19.

“Jabatan Perkhidmatan Awam akan mengeluarkan Pekeliling Perkhidmatan berkenaan pelaksanaan SSPA yang menjelaskan mekanisme itu,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung mekanisme kenaikan gaji penjawat awam termasuk kajian kebolehlaksanaan yang dijalankan.

Pada 1 Mei, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelarasan gaji kepada penjawat awam dengan kenaikan melebihi 13 peratus, tertinggi pernah dicatatkan dalam sejarah negara.

Pelarasan terakhir diterima pada 2012 sebanyak 13 peratus, beliau yang juga Menteri Kewangan menegaskan pendapatan minimum penjawat awam sebanyak RM1,795 tidak muhasabah.

 


Pengarang :