SHAH ALAM, 15 JULAI: Cadangan penambahbaikan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan Insurans Am Selangor (INSAN) merupakan sebahagian daripada rangka pelaksanaan Dasar Ekonomi Penjagaan.
EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata Kerajaan Negeri sentiasa mengambil berat kebajikan rakyat khususnya warga emas membabitkan hal penjagaan dan insentif khairat kematian.
“Penambahbaikan SMUE dan INSAN adalah dalam rangka pelaksanaan Dasar Ekonomi Penjagaan yang akan memayungi warga emas dari sudut penjagaan dan kebajikan.
“Kerajaan Negeri akan buat kajian secara menyeluruh. Setakat ini kita ada tiga insentif di Selangor yang beri khairat kematian dan kita perlu konsolidasi semua ikut kategori warga emas,” katanya kepada Selangorkini.
Kelmarin, Dato’ Menteri Besar dalam ucapannya berkata pentadbiran negeri berhasrat mengkaji dan menambah baik SMUE dan INSAN tahun depan bagi meningkatkan keberkesanan program itu.
Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari penambahbaikan terhadap program bawah Iltizam Selangor Penyayang itu penting supaya manfaatnya dinikmati setiap lapisan rakyat negeri ini.
Tahun lalu, seramai 263,141 orang mendapat manfaat SMUE manakala 6,331 keluarga menerima khairat kematian.
INSAN yang diperkenal sejak 1 Oktober 2022 pula memberi perlindungan insurans kemalangan diri berkumpulan secara percuma kepada enam juta rakyat berumur 30 hari hingga 80 tahun.