Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan meninjau sekitar pasar raya Segi Fresh selepas melancarkan Jualan Ehsan Rahmah bersama Segi Fresh cawangan Telok Panglima Garang pada 30 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kunjungi Jualan Ehsan Rahmah di tujuh cawangan Segi Fresh hujung minggu ini

SHAH ALAM, 18 JULAI: Orang ramai berpeluang mendapatkan pelbagai barangan keperluan asas pada harga murah menerusi Jualan Ehsan Rahmah (JER) di tujuh cawangan pasaraya Segi Fresh hujung minggu ini.

Bekerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Selangor, program pada Sabtu diadakan di cawangan Banting, Dengkil dan Ara Damansara.

Sementara pada Ahad pula diadakan di cawangan Antara Gapi, Kuala Kubu Bharu, Bandar Saujana Putra dan Salak Tinggi.

“Jualan Ehsan Rahmah bakal tiba minggu ini. Dapatkan harga berpatutan bulan ini.

“Segi Fresh mengucapkan terima kasih kepada PKPS dan KPDN Selangor kerana membantu mengurangkan harga. Jom bersiap-siap! Beli lebih, jimat lebih!,” maklumnya menerusi Facebook.

Julai tahun lalu, PKPS menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Segi Fresh bertujuan memperluas capaian jualan murah anjuran Kerajaan Negeri mulai 1 Ogos.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

Selain bekerjasama dengan Segi Fresh, PKPS turut menganjurkan jualan murah di lokasi terpilih seluruh negeri hampir setiap hari.

Lokasi terkini JER seluruh negeri boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS.

 


Pengarang :