Penerbangan khas membawa pulang rakyat Malaysia dari Bangladesh yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2) pada 23 Julai 2024 dijangka tiba di Sepang pada petang hari sama. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

Proses bawa pulang pelajar, rakyat Malaysia dari Bangladesh dijangka selesai hari ini

KUALA LUMPUR, 23 JULAI: Proses membawa pulang rakyat Malaysia dari Bangladesh termasuk 124 pelajar dijangka selesai hari ini.

Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin berkata pengungsian (evacuation) bermula pagi tadi melibatkan penerbangan khas pesawat AirAsia dengan kapasiti 350 penumpang.

Pesawat itu dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal, Dhaka pada 9.20 pagi waktu Bangladesh (11.20 pagi waktu tempatan).

Beliau berkata proses itu dikendalikan Kementerian Luar bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pesawat berkenaan dijangka tiba Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, petang ini.

“Ini antara peranan kita bahawa pelajar kita dan nasib warganegara kita di Bangladesh harus dilihat dan diberikan pemantauan sewajarnya, termasuklah 10 juruterbang yang bekerja dengan syarikat penerbangan di sana bersama keluarga mereka juga akan kita bawa pulang ke tanah air,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Amir Md Ghazali yang ingin tahu langkah diambil kementerian bagi membawa pulang rakyat Malaysia di Bangladesh.

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan kelulusan untuk mempercepatkan rancangan membawa pulang rakyat Malaysia dari negara itu, susulan protes yang semakin memuncak di sana yang mengorbankan puluhan nyawa.

– BERNAMA


Pengarang :