Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia, Profesor Dato’ Dr Mohd Ekhwan Toriman mengumumkan keputusan STPM bagi tahun 2023 ketika Majlis Anugerah Pelajar Terbaik Peringkat Kebangsaan STPM dan MUET 2023 di Dewan Besar Majlis Peperiksaan Malaysia pada 23 Julai 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR
AGENDANASIONAL

STPM 2023: Gred purata nasional meningkat kepada 2.84 banding 2.82 pada 2022

GOMBAK, 23 JULAI: Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023 menunjukkan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) nasional meningkat kepada 2.84 berbanding 2.82 tahun sebelumnya.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata nilai tersebut tertinggi pernah dicatatkan setakat ini.

“Sukacita dimaklumkan bahawa PNGK nasional untuk 2023 meningkat banding tahun lepas dari 2.82 kepada 2.84 pada tahun 2023,” katanya ketika mengumumkan analisis keputusan di pejabat MPM di sini hari ini.

Beliau turut mengumumkan seramai 1,116 calon atau 2.70 peratus memperoleh PNGK 4.00 telah menurun sebanyak 68 calon banding tahun 2022.

“Daripada 1,116 calon ini, 803 calon atau 71.95 peratus adalah dari kategori golongan berpendapatan rendah (B40).

“Bilangan calon yang mendapat 5A dalam kelima-lima mata pelajaran yang diambil juga bertambah daripada 38 calon pada 2022 kepada 41 calon untuk 2023. 29 calon adalah dari kategori B40,” jelasnya.

Ditanya mengenai 1,360 calon yang tidak hadir menduduki peperiksaan itu, beliau berkata ia disebabkan beberapa faktor seperti calon-calon menyambung pelajaran ke peringkat diploma atau program lain, mendapat peluang pekerjaan, tidak berminat, masalah kesihatan dan meninggal dunia.

Dalam pada itu, beliau berkata MPM telah memilih 17 pelajar terbaik mengikut kategori dengan diberikan anugerah berbentuk wang tunai bernilai RM1,000, plak serta sijil yang dijangka disampaikan oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dalam satu majlis, hari ini.

“Lima pelajar terbaik kebangsaan dari aliran Sains selain aliran Sains Sosial juga lima penerima.

“Dua pelajar terbaik untuk kategori Orang Asli. Manakala lima pelajar terbaik dari kategori calon Berkeperluan Pendidikan Khas terdiri daripada buta, rabun, pekak dan spastik,” ujarnya.

Calon STPM 2023 boleh menyemak keputusan menerusi pautan http://stpm.mpm.edu.my/stpmK dan sistem pesanan ringkas (SMS) dengan menaip STPM/No. Kad Pengenalan/Angka Giliran dan hantar ke 15888 bermula 11 pagi ini.


Pengarang :