Peserta mendapatkan pelbagai perkhidmatan yang disediakan di kaunter sempena majlis Perasmian Program Bizmatch Mega PKNS dan Pelancaran Ekspo Usahawan Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 Shah Alam pada 23 Julai 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Lebih 1,500 usahawan sertai Bizmatch Mega PKNS, bantu kembang niaga

SHAH ALAM: Lebih 1,500 usahawan menyertai program Bizmatch Mega PKNS: Himpunan Usahawan Selangor 2024, hari ini dalam usaha memperkukuh rangkaian dan memajukan perniagaan masing-masing.

Diadakan di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 di sini, program anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu disertai 40 agensi pembiaya dan keusahawanan selain pengisian seminar perniagaan oleh Datuk Rosyam Nor.

EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata program edisi kedua itu merupakan titik mula dalam merancakkan lagi pertumbuhan perniagaan di Selangor, selain menambah baik kemudahan kepada peniaga.

EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi (tengah) melakukan gimik Perasmian Program Bizmatch Mega PKNS dan Pelancaran Ekspo Usahawan Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 Shah Alam pada 23 Julai 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Inisiatif PKNS ini merupakan antara langkah Kerajaan Negeri dalam memacu pertumbuhan usahawan negeri ini ke tahap yang lebih tinggi serta membantu usahawan berhubung terus kepada agensi terlibat.

“Ini juga merupakan permulaan sebelum penganjuran Ekspo Usahawan Selangor 2024 (Selbiz 2024) yang akan diadakan di Setia Alam pada Oktober depan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program berkenaan.

Program yang dianjur secara percuma bermula jam 9 pagi hingga 4 petang itu turut dihadiri Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Korporat) PKNS Suhaimi Kasdon.

Sementara itu, usahawan minuman sarang burung walit, Suhaiza Hussin, 49, yang julung kali hadir dalam program padanan perniagaan berharap dapat meluaskan lagi rangkaian keusahawanannya.

“Saya datang kerana nampak potensi yang banyak di program ini, terutamanya peluang untuk bertemu agensi dan ketengahkan produk kita kepada pihak berkepentingan.

“Ketika ini jenama saya ada di semua cawangan pasaraya Rosyam Mart, selepas ini saya sasarkan mahu letak produk di semua pasaraya dalam negara,” katanya yang menghasilkan lebih 5,000 botol minuman sarang burung walit setiap bulan.

Bagi usahawan produk makanan tambahan kesihatan, Asraff Rosli, 36, menyifatkan program berkenaan sangat bagus kepada usahawan di Selangor yang sedang berusaha mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Beliau yang berhasrat menambah kilang bagi meningkatkan hasil produk syarikatnya, berharap program seumpama ini dapat diteruskan selain semua usahawan dibimbing secara terus oleh agensi terlibat.

Usahawan sarang burung walit, Suhaiza Hussin, 49

“Saya merupakan usahawan bawah bimbingan PKNS dan saya amat bersyukur kerana PKNS membawa saya sehingga syarikat saya kini mampu bersaing di peringkat antarabangsa dan mengeksport jualan ke Abu Dhabi.

“Dalam program ini, saya berharap dapat bertemu agensi yang sesuai untuk bantu syarikat mengembangkan lagi penghasilan produk bagi memenuhi permintaan pembeli tempatan dan luar negara,” katanya yang memulakan perniagaan sejak 2018.


Pengarang :