EXCO Sukan Najwan Halimi berucap pada majlis penyerahan insentif kecemerlangan atlet Selangor di Hotel Concorde, Shah Alam pada 28 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

SUKMA 2026: Medan terbaik perkasa pelancongan sukan, tingkat prestasi atlet

SHAH ALAM, 23 JULAI: Peluang terpilih sebagai tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 menjadi kesempatan terbaik buat Selangor memperkasakan lagi pelancongan sukan.

EXCO Sukan Najwan Halimi berkata penganjuran semula temasya berkenaan selepas 28 tahun juga selari dengan tekad Kerajaan Negeri untuk mengangkat prestasi sukan serta atlet.

“Kali terakhir Selangor menjadi tuan rumah adalah pada 1998. Dalam tempoh 28 tahun itu, kita melihat Selangor dalam proses untuk angkat semula prestasi dan keupayaan atlet kita.

“Disamping itu, kita mahu menjadikan pelancongan sukan sebagai agenda penting kerana Selangor memiliki hampir semua kemudahan sukan bertaraf antarabangsa,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan program Bizmatch Mega PKNS: Himpunan Usahawan Selangor 2024 di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 di sini, hari ini.

EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi (tengah) melakukan gimik Perasmian Program Bizmatch Mega PKNS dan Pelancaran Ekspo Usahawan Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 Shah Alam pada 23 Julai 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Najwan juga berharap penganjuran SUKMA di Selangor dapat diadakan di Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) sekiranya semua proses pembinaan kompleks itu berjalan lancar mengikut jadual.

Menurutnya, SUKMA 2026 dijangka mempertaruhkan 28 acara teras yang akan diumumkan secara rasmi pada masa akan datang.

“Ini ruang untuk Kerajaan Negeri perbaiki kemudahan sukan di seluruh negeri, bukan sahaja untuk kegunaan atlet tetapi juga persiapan SUKMA akan datang.

“Kita berharap KSSA dapat disiapkan mengikut jadual. Kalau dapat disempurnakan dengan baik, kita akan jadikan ia lokasi utama bagi acara perasmian SUKMA dan sebagainya,” katanya.

Pada 18 Julai lalu, Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi kenyataan memaklumkan Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia memutuskan Selangor dipilih sebagai tuan rumah SUKMA 2026.

Pada SUKMA 1998, Selangor menganjurkan 24 acara sukan yang menyaksikan negeri dinobatkan sebagai juara keseluruhan dalam temasya edisi ketujuh itu


Pengarang :