Petugas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) melakukan kerja mitigasi bagi memulihkan pencemaran bau Sungai Kuang pada 23 Julai 2024. Foto Facebook LUAS
AGENDANASIONAL

Empat sungai catat sifar TON, loji rawatan mula terima air mentah

SHAH ALAM, 23 JULAI: Kadar pencemaran bau Sungai Kuang, Sungai Kundang, Sungai Sembah dan Sungai Selangor mencatatkan bacaan sifar TON (nombor bau nilai ambang) setakat 9.45 malam ini.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memaklumkan bacaan sama turut direkod tiga kali di muka sauk empat loji rawatan air (LRA) terlibat bermula jam 2 petang tadi.

Air mentah berjaya disalurkan semula kepada LRA Rantau Panjang pada jam 3 petang, manakala LRA Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3), Sungai Selangor Fasa (2SSP2) dan Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) pada jam 5 petang.

“Pemantauan rapi kesan bau di lokasi terlibat akan diteruskan LUAS sehingga keseluruhan lokasi disahkan tiada lagi risiko dan potensi,” maklum LUAS di Facebook.

Menurut LUAS, pasukannya sedang memantau rapi kerja pembersihan oleh premis terlibat di kawasan terjejas yang kini pada tahap 90 peratus.

Setakat 5.45 petang tadi, kualiti air Sungai Sembah, Sungai Selangor, muka sauk LRA Rantau Panjang dan SSP3. menunjukkan penurunan bacaan kepada sifar TON.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) pula memaklumkan LRA Rantau Panjang kembali beroperasi sepenuhnya pada jam 3 petang.

Susulan pencemaran bau Sungai Kuang, Air Selangor terpaksa menghenti tugas sementara LRA Rantau Panjang, SSP1, SSP2 dan SSP3.

Berikutan itu, tujuh wilayah iaitu Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.


Pengarang :