Air Selangor pembekal tunggal perkhidmatan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Status pemulihan bekalan air capai 9.9 peratus setakat 6 pagi

SHAH ALAM, 24 JULAI: Status pemulihan bekalan air di kawasan terjejas susulan henti tugas sementara empat loji rawatan air (LRA) akibat pencemaran bau di Sungai Kuang dan Sungai Sembah mencapai 9.9 peratus setakat 6 pagi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan LRA Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2) dan Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) beroperasi sepenuhnya.

“Keempat-empat LRA telah beroperasi sepenuhnya dan bekalan air terawat yang bersih dan selamat sudah mula disalurkan secara berperingkat-peringkat kepada premis pengguna.

“Sehingga jam 6:00 pagi, peratusan pemulihan bekalan air bagi kawasan-kawasan yang terlibat telah mencapai 9.9 peratus.” katanya di Facebook.

Air Selangor menjangkakan peratusan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas mencapai sekitar 40 peratus pada 8 pagi esok, diikuti 90 peratus (8 malam) dan bekalan air dijangka pulih sepenuhnya jam 8 pagi Jumaat ini.

“Tempoh masa pemulihan bekalan air di kawasan terjejas berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

“Air Selangor telah menggerakkan lori tangki air ke kawasan yang masih terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

“Bantuan bekalan air alternatif menerusi 17 Pusat Khidmat Setempat (PKS) turut disediakan untuk kemudahan pengguna di lokasi yang tersenarai,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi https://waterupdates.airselangor.com/ selain Facebook, Instagram dan X.

Syarikat itu juga boleh dihubungi di talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/.

Susulan pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah semalam, Air Selangor terpaksa menghenti tugas sementara LRA Rantau Panjang, SSP1, SSP2 dan SSP3.

Berikutan itu, tujuh wilayah iaitu Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

 


Pengarang :