Pemilik bersama My Innovative Welness Sdn Bhd Juliza Tupon menunjukkan granola dan minuman oat pelbagai perisa jenama Entrusol di ruang pameran Persidangan Halal Antarabangsa Selangor (Selhac) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 12 Mac 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Sidang halal Selangor perkukuh industri, sasar padanan niaga RM61 juta

OLEH DANIAL DZULKIFLY

SHAH ALAM, 25 JULAI: Persidangan Halal Antarabangsa Selangor (Selhac) 2024 yang dijadual Oktober ini menyasar padanan perniagaan berjumlah RM61 juta, meningkat 10 peratus berbanding tahun lalu.

Bakal disertai 150 syarikat tempatan, EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah berkata program itu dianjur sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Menurutnya, penggabungan sidang itu dalam SIBS akan terus mewujudkan platform yang komprehensif untuk usahawan halal di Asean, selain memperkukuh rantaian dan pembangunan industri berkenaan.

“Sebelum ini, ia adalah persidangan yang berdiri sendiri. Saya berpendapat SIBS sangat berjaya membawa masuk ramai peserta dan pemain industri, baik tempatan mahupun luar negara.

EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah ketika sidang media selepas merasmikan logo Selhac sempena Sidang Kemuncak Niaga Selangor (SIBS) 2024 di Hotel Sheraton, Petaling Jaya pada 25 Jun 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Selhac pada asalnya diwujudkan sebagai medium usahawan halal memasuki pasaran Asean. Apabila skop SIBS diperluas, relevan untuk menjadikan Selhac sebahagian daripada persidangan itu,” katanya.

Dr Fahmi menambah penyepaduan persidangan itu juga membolehkan Selangor membantu pemain industri tempatan dan antarabangsa menerokai pasaran halal bagi mendapat pensijilan berkaitan.

Jelasnya, Kerajaan Negeri turut berusaha membantu peniaga mendapatkan pensijilan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dalam tempoh lebih pendek sekitar 15 hari berbanding 30 hari yang ditetapkan.

“Apabila disahkan halal oleh Jakim, ini bermakna produk itu sesuai untuk dunia, kerana ia adalah badan pensijilan yang diiktiraf di peringkat global.

“Jika kita boleh memendekkan proses kelulusan dan menggalak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendapatkan sijil halal Jakim, maka ia akan lebih meyakinkan masyarakat Islam,” katanya.

Edisi ketiga Selhac bertemakan Merancakkan Ekosistem Halal dianjur bersekali dengan Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman), yang dijadual pada 16 hingga 19 Oktober.

Pada 25 Jun, Dr Fahmi berkata persidangan itu akan menumpukan usaha mempercepat pensijilan halal bagi PKS, mengoptimum rantaian bekalan logistik dan membudaya inovasi digital halal.

 


Pengarang :