Bantuan alternatif melalui lori tangki mula digerakkan kepada pengguna dengan keutamaan untuk premis kritikal susulan henti tugas LRA Langat 2 pada 11 Ogos 2022. Foto Facebook Air Selangor
AGENDANASIONAL

Pemulihan bekalan air capai 83.5 peratus, beberapa kawasan pulih sepenuhnya

SHAH ALAM, 25 JULAI: Status pemulihan bekalan air di kawasan terlibat henti tugas sementara empat loji rawatan air (LRA) mencapai 83.5 peratus peratus setakat 7.30 pagi ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan bekalan bagi kumpulan 1, melibatkan beberapa kawasan Klang, Kuala Lumpur, Petaling, Shah Alam dan Gombak pulih sepenuhnya jam 7.30 pagi tadi.

“Manakala bagi kumpulan 2 membabitkan sebahagian kawasan di wilayah Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Lumpur, Gombak, Kuala Selangor dan Hulu Selangor pemulihan penuh dijangka 8 malam ini.

“Bagi kumpulan 3, melibatkan beberapa kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam dan Kuala Selangor pemulihan penuh dijangka 8 pagi Jumaat (esok),” katanya menerusi Facebook hari ini.

Air Selangor terus menggerakkan lori tangki air ke kawasan yang masih terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

Bantuan bekalan air alternatif menerusi 16 Pusat Khidmat Setempat (PKS) turut disediakan untuk kemudahan pengguna di lokasi yang tersenarai.

Menurut agensi itu pengguna yang mengalami bekalan air berwarna dinasihatkan membiarkan paip air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

“Air Selangor berharap pengguna yang telah mendapat bekalan air menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar.,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi https://waterupdates.airselangor.com/ selain Facebook, Instagram dan X.

Air Selangor juga boleh dihubungi di talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/

Susulan pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah, Air Selangor terpaksa menghenti tugas sementara LRA Rantau Panjang, SSP1, SSP2 dan SSP3.

Berikutan itu, tujuh wilayah iaitu Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

 


Pengarang :