Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kiri) menyampaikan cenderamata kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz (dua, kanan) dalam Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada 25 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
AGENDANASIONAL

Capaian ekonomi luar biasa, Putrajaya harapkan Selangor tingkat KDNK negara

OLEH AMAR SHAH MOHSEN

KUALA LUMPUR, 25 JULAI: Putrajaya berharap kepada Selangor untuk meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berikutan sumbangan luar biasa negeri itu dalam ekonomi negara.

Ini berikutan pelaburan besar dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan meletakkan Selangor sebagai hab utama Malaysia untuk inovasi serta pertumbuhan ekonomi, kata menteri pelaburan.

Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menjelaskan ia juga selaras hasrat Selangor untuk menyumbang RM500 bilion kepada ekonomi negara dalam tempoh tiga tahun melalui kedua-dua sektor berkenaan.

“Kita memantau perkara ini dengan sangat teliti. Saya berharap Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan pentadbiran negeri dapat mencapai hasrat berkenaan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz (dua, kiri) berucap pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 25 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Kerajaan persekutuan bergantung harap kepada Selangor,” katanya berucap dalam Persidangan Perniagaan Asean Selangor (SABC) 2024 di sini hari ini.

Hadir sama Dato’ Menteri Besar, EXCO Pelaburan Ng Sze Han, Setiausaha Kerajaan Selangor Dato’ Haris Kassim dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Bhd Dato’ Hasan Azhari Idris.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata Selangor boleh memanfaat kedudukan Asean sebagai “destinasi kegemaran dunia” untuk pelaburan dalam pembuatan, termasuk sebagai enjin pertumbuhan global.

SABC yang diadakan bermula hari ini sehingga Sabtu merupakan sebahagian daripada siri pertama Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024.

Berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2 Julai, Selangor menjadi negeri penyumbang tertinggi KDNK iaitu 25.9 peratus tahun lalu, meningkat 0.4 peratus berbanding 2022.

Nilai ekonomi Selangor juga buat pertama kali mencecah RM406.1 bilion, negeri pertama di Malaysia
melebihi paras RM400 bilion, mengatasi gabungan Johor, Sarawak dan Pulau Pinang.

Sebelum ini, Amirudin menyatakan Selangor menyasar sumbangan RM500 bilion kepada KDNK dalam
tempoh tiga tahun dan mengingatkan semua pihak tidak mudah leka dengan pencapaian sedia ada.

 


Pengarang :