Air Selangor menggerakkan lori tangki ke kawasan terlibat gangguan bekalan air tidak berjadual susulan pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah pada 23 Julai 2024. Foto Facebook Air Selangor
AGENDANASIONAL

Pemulihan bekalan air 85.9 peratus, lebih banyak kawasan pulih hari ini, esok

SHAH ALAM, 25 JULAI: Bekalan air di beberapa kawasan di Klang, Kuala Lumpur, Petaling, Shah Alam, Gombak, Kuala Selangor dan Hulu Selangor mencapai pemulihan 78.9 peratus setakat 10.30 pagi ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan kawasan bagi kumpulan dua itu dijangka pulih sepenuhnya pada 8 malam ini.

Air Selangor berkata bekalan bagi kumpulan 1, melibatkan beberapa kawasan di Klang, Kuala Lumpur, Petaling, Shah Alam dan Gombak sudah pulih 7.30 pagi tadi.

“Setakat 9 pagi tadi status pemulihan bekalan air di kawasan terlibat henti tugas sementara empat loji rawatan air (LRA) mencapai 85.9 peratus,” katanya menerusi Facebook.

Air Selangor berkata tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas berbeza bergantung kepada faktor seperti tekanan air pada sistem agihan bekalan air, keadaan muka bumi serta jarak jajaran paip dan lokasi premis pengguna.

Lori tangki digerakkan ke kawasan yang masih terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

Bantuan bekalan air alternatif menerusi 10 Pusat Khidmat Setempat (PKS) turut disediakan untuk kemudahan pengguna di lokasi tersenarai.

Bagi pelanggan komersial, bekalan air terawat boleh dibeli di kaunter khidmat pelanggan Air Selangor wilayah Sepang atau Hulu Langat.

Bagi tujuan ini, pelanggan komersial boleh menggunakan lori tangki air masing-masing di dua stesen pengisian air yang telah dibuka di Braemar Estet (wilayah Hulu Langat) dan Taman Gemilang Dengkil (wilayah Sepang).

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi https://waterupdates.airselangor.com/ selain Facebook, Instagram dan X.

Air Selangor juga boleh dihubungi di talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/

Susulan pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah, Air Selangor terpaksa menghenti tugas sementara LRA Rantau Panjang, SSP1, SSP2 dan SSP3.

Berikutan itu, tujuh wilayah iaitu Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.


Pengarang :