Oleh DANIAL DZULKIFLY
KUALA LUMPUR, 26 JULAI: Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) dianggap sebagai penggerak utama (prime mover) yang boleh membuka potensi ekonomi sebenar di kawasan utara Selangor.
Bagaimanapun, EXCO kerajaan tempatan berkata kawasan itu berdepan pelbagai cabaran ekonomi yang memerlukan pembangunan meluas, di sebalik kekayaan sumber semula jadi yang dimiliki.
“Sebagai contoh, kebanyakan aktiviti penangkapan ikan di Selangor berlaku di kawasan Sabak Bernam, tetapi jeti berada dalam kapasiti penuh.
“Lebih banyak kapal bermakna kita memerlukan lebih banyak ruang berlabuh untuk menampung permintaan yang meningkat bagi produk laut,” kata Dato’ Ng Suee Lim kepada Selangor Journal semalam.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/07/P_SIBS-2-500x333.jpg.webp)
Beliau ditemui pada Ekspo Taman Perindustrian Selangor (SPARK), sebahagian acara bawah Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di sini, mulai semalam hingga Sabtu.
Sementara itu, ketika berucap merasmikan acara berkenaan, Suee Lim berkata SABDA akan meletakkan Selangor sebagai penanda aras kepada negeri lain, terutama dalam pertanian dan akuakultur.
Diumumkan dalam Rancangan Selangor Pertama, inisiatif itu, jelasnya, bagi memacu ekonomi makanan laut, memastikan keselamatan makanan dan mempromosi ekopelancongan serta agropelancongan.
“Sabak Bernam bukan sahaja kaya dengan sumber semula jadi tetapi juga menawarkan landskap yang indah dan tarikan unik yang boleh menjana pendapatan untuk penduduk tempatan,” katanya, yang turut berharap sektor tersebut berkembang seiring Tahun Melawat Selangor 2025.
Projek bawah SABDA antaranya akuakultur di Sungai Lang, kompleks pendaratan ikan di Sekinchan, projek kompleks jeti nelayan di Bagan Sungai Besar dan kelip-kelip di Sungai Panjang.