Air Selangor pembekal tunggal perkhidmatan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pemulihan bekalan air capai 96.2 peratus takat 3 petang

SHAH ALAM, 26 JULAI: Status pemulihan bekalan air di kawasan terlibat susulan henti tugas sementara empat loji rawatan air (LRA) mencapai 96.2  peratus setakat 3 petang.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan bekalan air di beberapa kawasan telah pulih pagi tadi manakala jangkaan pemulihan keseluruhan wilayah terjejas adalah pada jam 8 pagi esok.

“Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas berbeza bergantung kepada faktor seperti tekanan air pada sistem agihan bekalan air, keadaan muka bumi serta jarak jajaran paip dan lokasi premis pengguna.

“Lori tangki digerakkan ke kawasan yang masih terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian,” maklumnya di Facebook

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi https://waterupdates.airselangor.com/ selain Facebook, Instagram dan X. Air Selangor juga boleh dihubungi di talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/

Susulan pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah, Air Selangor terpaksa menghenti tugas sementara LRA Rantau Panjang, SSP1, SSP2 dan SSP3.

Berikutan itu, tujuh wilayah iaitu Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.


Pengarang :