Air Selangor menggerakkan lori tangki ke kawasan terlibat gangguan bekalan air tidak berjadual susulan pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah pada 23 Julai 2024. Foto Facebook Air Selangor
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bekalan air tujuh wilayah termasuk Klang, Shah Alam, Petaling pulih sepenuhnya

SHAH ALAM, 26 JULAI: Bekalan air di semua kawasan terlibat susulan henti tugas sementara empat loji rawatan air (LRA) pulih sepenuhnya pada jam 12 tengah malam tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengucapkan terima kasih kepada pengguna atas kesabaran dan kerjasama diberikan sepanjang tempoh berkenaan.

“Air Selangor ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengguna di atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu, agensi itu memaklumkan tujuh wilayah iaitu Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Ia berikutan empat LRA iaitu Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2) dan Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) dihenti tugas susulan insiden pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah.

Lori tangki digerakkan ke kawasan terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

Air Selangor memaklumkan pengguna boleh mendapatkan maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300.


Pengarang :