SHAH ALAM, 26 JULAI: Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang menjuarai pertandingan Debat Darul Ehsan Piala Tuan Speaker Dewan Negeri Selangor 2024 semalam.
Majlis penutup yang diadakan di Dewan Jubli Perak di sini, menobatkan Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) sebagai naib juara, yang bertindak sebagai kerajaan dalam pertandingan julung kali itu.
Peserta dari SMAP Kajang, Ameen Luqman Norhanizan dipilih pembahas terbaik dalam pertandingan akhir yang membawa usul ‘Dewan Ini Percaya Iltizam Selangor Penyayang: Mesra Belia Selangor’.
SMAP Kajang yang dianggotai lima pelajar lelaki membawa pulang piala pusingan, trofi, sijil penyertaan serta hadiah istimewa berupa jersi Selangor FC yang ditaja wakil rakyat Batu Tiga Danial Al-Rashid.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/07/P-PDNS-7-500x333.jpg.webp)
Sementara itu, Speaker Lau Weng San memuji penggunaan frasa Bahasa Melayu yang dilontarkan pembahas selain berharap ia dapat dicontohi wakil rakyat pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) akan datang.
“Saya mengikut dan mendengar secara terperinci, betapa pintarnya pembahas ini. Sebagai Speaker, banyak yang kita dapat belajar daripada mereka.
“Ini termasuklah penggunaan Bahasa Melayu, frasa, pantun, dan mungkin akan kedengaran pada sidang akan datang,” katanya menyampaikan ucapan perasmian majlis penutup.
Pertandingan Debat Darul Ehsan Piala Tuan Speaker Dewan Negeri Selangor 2024 yang bermula pada 21 Julai lalu disertai 38 sekolah menengah seluruh Selangor.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/07/P-PDNS-1-1-500x333.jpg.webp)
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/07/P-PDNS-4-500x321.jpg.webp)