Anggota polis ditempatkan di venue acara sukan bagi memastikan keselamatan awam terjamin pada Sukan Olimpik Paris 2024 di Esplanade Des Invalides, Paris pada 25 Julai 2024. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Enam atlet Malaysia sertai upacara pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024

Daripada Vikneswaran Raman

PARIS, 26 JULAI: Enam atlet dan empat pegawai akan mewakili kontinjen Malaysia pada upacara pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024 awal pagi Sabtu.

Ketua kontinjen negara Datuk Hamidin Mohd Amin berkata barisan atlet negara bakal didahului oleh dua pembawa Jalur Gemilang, iaitu penerjun Bertrand Rhodict Lises dan atlet pelayaran Nur Shazrin Mohamad Latif.

Turut menyertai upacara yang akan diadakan di Sungai Seine secara besar-besaran adalah Nur Dhabitah Sabri (terjun), Khairulnizam Mohd Afendy (pelayaran), Ashley Lau (golf) dan Tan Rouxin (renang).

Kontinjen Malaysia turut disertai oleh Hamidin, timbalannya Datuk Nicol David, ketua perubatan kontinjen Dr Jasmiza Khuzairi Jasme dan Ang Li Pei (pegawai keselamatan Majlis Olimpik Malaysia).

Majlis perasmian Olimpik Paris 2024 dijadualkan bermula 1.30 pagi esok dengan atlet menaiki bot berhias.

Malaysia menghantar 26 atlet dan 40 pegawai ke temasya sukan itu.

Terdahulu, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menerusi media sosialnya mengumumkan bahawa kontinjen negara akan di menggayakan busana bernama ‘The Malaya’ berwarna hijau zaitun dengan motif keemasan rekaan pereka fesyen terkemuka tempatan Rizman Ruzaini untuk perasmian.

Atlet wanita memakai baju kurung songket dengan kelubung manakala atlet lelaki berbaju Melayu Teluk Belanga.

Sementara itu, Hamidin yakin dengan keselamatan atlet dan pegawai dalam kontinjen negara berikutan laporan media beberapa insiden seperti rompakan dan jenayah seksual.

“Saya tidak bimbang dengan atlet kerana mereka sentiasa berada di Perkampungan Sukan dan hanya keluar ke venue latihan atau pertandingan. Tahap keselamatan ketat untuk masuk ke Perkampungan Sukan dengan pemeriksaan rapi.

“Tetapi saya bimbang sedkit tentang keselamatan ahli keluarga dan rakan atlet di luar sana dan juga rakyat Malaysia yang lain di sini bagi temasya ini. Harap mereka menjaga keselamatan mereka.

“Buat masa ini tiada apa-apa masalah dihadapi oleh atlet negara,” katanya ketika ditemui di Invalides, venue bagi acara memanah.

– BERNAMA


Pengarang :