Kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin ditemui meninggal dunia dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai pada 6 Disember 2023. Foto Facebook Bernama
AGENDANASIONAL

Pembelaan mohon pinda nama Zayn Rayyan dalam kertas pertuduhan

SHAH ALAM, 26 JULAI: Pihak pembelaan memohon kepada Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini untuk meminda nama kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin dalam kertas pertuduhan.

Menurut peguam Fahmi Abd Moin yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari, 29, dan Ismanira Abdul Manaf, 29, nama kanak-kanak itu dipinda daripada Zayn Rayyan Abdul Matiin kepada Zayn Rayyan Zaim Ikhwan.

Jelas beliau, permohonan itu dibuat kepada Hakim Dr Syahliza Warnoh dalam prosiding sebutan kes pertama hari ini, lapor Harian Metro.

“Pada 4 Julai lalu, pembetulan maklumat nama Zayn Rayyan sudah dibuat dan ditukar kepada Zayn Rayyan bin Zaim Ikhwan.

“Saya ingin merekodkan kami ingin membuat permohonan untuk meminda nama Zayn Rayyan dalam pertuduhan,” katanya yang turut mengemukakan salinan sijil kelahiran baharu kepada mahkamah.

Mendengar permohonan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar mengesahkan pihak pendakwaan baru menerima sijil kelahiran baharu itu pagi ini.

“Memandangkan dokumen ini baru diserahkan pada pagi ini, pendakwaan memohon untuk memaklumkan kepada pihak-pihak sekiranya terdapat pindaan pada pertuduhan pada tarikh akan datang,” katanya.

Mendengar hujah kedua-dua pihak, Dr Syahliza kemudian mengarahkan pendakwaan mengesahkan terlebih dulu dengan JPN dan perkara itu akan diteliti dalam sebutan kes akan datang.


Pengarang :