PBTSELANGOR

Pemilik anjing, kucing dipelawa sertai program Potong Royong

SHAH ALAM, 26 JULAI: Pemilik anjing dan kucing dipelawa membawa haiwan peliharaan mereka bagi tujuan pemandulan dalam program Potong Royong anjuran Persatuan Pencegahan Kezaliman Terhadap Haiwan (SPCA).

Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menerusi Facebook memaklumkan program berlangsung di SPCA Selangor, Ampang Jaya pada 28 hingga 31 Julai khusus bagi kucing manakala 1 hingga 3 Ogos untuk anjing.

“Acara bertujuan menyediakan perkhidmatan kembiri dan vaksin bersubsidi bagi membantu pengurusan dan penjagaan haiwan di komuniti kita.

“Jangan lepaskan peluang ini untuk menyumbang kepada tujuan yang bermakna dan membantu mewujudkan Selangor bebas haiwan jalanan,” katanya.

Antara syarat penyertaan adalah terbuka kepada semua pemilik atau penjaga anjing/kucing berbaka tempatan sahaja dan semua haiwan berbaka tulen tidak diterima sama sekali.

Setiap seorang pemilik hanya boleh membawa maksimum lima ekor kucing dan tiga ekor anjing. Harga subsidi akan dikemuka semasa janji temu.

Pemilik anjing dan kucing yang berminat boleh daftar dengan mengimbas kod QR yang tertera di poster.

Sebarang pertanyaan, boleh hubungi 011-3332 4530 (WhatsApp) atau layari laman web potongroyongespca.org.my.

Sebelum ini, Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin mencadangkan kaedah pemandulan bagi membendung haiwan liar terutama anjing.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah, Baginda turut menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) memperinci semula pendekatan baharu yang lebih holisitik dalam menguruskan haiwan itu.

 

 


Pengarang :