(Dari kiri) Moderator, Ketua Pegawai Operasi Institut for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) Dr Tricia Yeoh; Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari; Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan EXCO Pelaburan Ng Sze Han ketika Sesi Dialog Khas Malaysia Destinasi Pilihan Pelabur: “Manfaat Ekonomi Untuk Kemakmuran Bersama” di Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 25 Julai 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR
BERITA UTAMASELANGOR

RS-1 lengkap semua aspek, bantu tingkat peratusan KDNK negeri

KUALA LUMPUR, 26 JULAI: Rancangan Selangor Pertama (RS-1) akan meningkatkan peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri sehingga 0.5 peratus pada masa akan datang.

Dato’ Menteri Besar berkata menerusi pelan pembangunan lima tahun berkenaan, Selangor mencatatkan KDNK sebanyak 25.9 peratus tahun lalu, meningkat 0.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“RS-1 ini berbeza dengan Rancangan Malaysia. RS-1 lebih teliti kerana libatkan kerjasama negeri, persekutuan dan sektor swasta. Kita panggil semua sektor dan agensi untuk tahu pelan, insiatif mereka. Kita bandingkan, lihat ‘blue print’ masing-masing.

“Kita dapat lihat RS-1 sudah beri kesan kepada KDNK. Sebelum ini kita lihat naik antara 0.2 hingga 0.3 peratus sahaja tapi bila lancarkan, melompat hampir 0.5 peratus.

Pengurus Silicon Island Development, Marianne Loke (kanan) memberi penerangan kepada pengunjung ketika Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 26 Julai 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Ini disebabkan RS-1 ini lebih mendalam perancangannya. Ditambah dengan sokongan tenaga kerja dan infrastruktur. Kita yakin mampu sumbang RM500 bilion dalam masa beberapa tahun ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam sesi dialog khas sempena penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Tambah beliau, pelan rancangan berkenaan juga tidak hanya memfokuskan aspek ekonomi semata-mata sebaliknya menyentuh elemen sosial kebajikan rakyat dan kelestarian mampam alam sekitar.

RS-1 yang dibentang pada Julai 2022 melibatkan nilai keseluruhan RM212.44 bilion dengan pelaksanaan 262 projek. Daripada jumlah itu sebanyak RM92.44 bilion disalur kepada projek pembangunan peringkat negeri termasuk pelaksanaan beberapa insentif bagi menjamin kebajikan rakyat.

 


Pengarang :