Aksi penerjun negara Nur Dhabitah Sabri ketika membuat terjunan yang sempurna dalam acara 3 meter papan anjal wanita individu peringkat akhir pada temasya Olimpik Tokyo 2020 di Pusat Akuatik Tokyo pada 1 Ogos 2021. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Bertrand, Dhabitah galas tugas berat kembalikan ‘maruah’ negara di Paris

KUALA LUMPUR, 26 JULAI: Penerjun negara Bertrand Rhodict Lises dan Nur Dhabitah Sabri melangkah ke kota Paris dengan memikul tugas berat untuk mengembalikan ‘maruah’ kem terjun negara di Sukan Olimpik 2024.

Kem terjun negara dipalit sejarah hitam apabila hanya Bertrand Rhodict menjadi satu-satunya atlet terjun menempah tiket secara merit dalam acara 10 meter (m) platform lelaki sebelum Nur Dhabitah mendapat kuota lebihan tidak digunakan atlet negara lain untuk membuat penampilan ketiganya di pentas Olimpik dalam acara 3m papan anjal wanita.

Bertrand Rhodict, 19, atlet muda yang membuat kemunculan sulung di pentas berprestij itu mempunyai rekod terbaik peribadi 442.35 mata dalam acara 10m platform lelaki yang dilakukannya di Kejohanan Akuatik Dunia Fukuoka 2023.

Usaha perlu dilakukan atlet kelahiran Sarawak itu apabila dijangka berdepan pemenang pingat emas edisi lepas Cao Yuan dari China yang mempunyai catatan 582.35 mata untuk mengungguli acara 10m platform lelaki.

Atlet terjun negara Bertrand Rhodict Lises beraksi pada pusingan akhir terjun 10 meter platform pada Sukan Asia Hangzhou 2022 di pusat sukan akuatik Olimpik Hangzhou pada 4 Oktober 2023. Foto BERNAMA

Bagi Bertrand Rhodict, jurang mata berkenaan boleh dirapatkan dengan persiapan rapi beliau yang semakin hampir menguasai kemahiran terjunan dengan darjah kesukaran 3.7 dan 3.6 demi menambat hati juri.

Sepanjang bergelar atlet terjun kebangsaan, Bertrand Rhodict pernah meraih pingat gangsa di Sukan Asia 2023 (10m platform seirama), Grand Prix Terjun 2018 (10m platform seirama) dan Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia 2023 (10m platform individu) dan pingat emas di Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia 2023 (10m platform seirama).

Nur Dhabitah yang berjaya menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik acara 3m papan anjal individu di Olimpik Tokyo merekodkan 326.15 mata perlu mencari kira-kira 17 mata untuk berada di podium sekiranya mengikut rekod pemenang pingat edisi lepas.

Dua penerjun China, Tingmai Shi dan Han Wang mendominasi kolam terjun apabila masing-masing meraih emas dan perak dengan 383.50 dan 348.75 mata manakala Krysta Palmer dari Amerika Syarikat gangsa dengan 343.75 mata.

Nur Dhabitah mungkin boleh menarik nafas lega apabila dua kelibat jagoan terjun itu tidak akan beraksi di Paris, namun China menghantar pengganti yang tidak kurang hebatnya iaitu Chen Yiwen dan Chang Yani yang mempunyai catatan peribadi 404.70 dan 363.75 mata.

Penanda aras acara 3m papan anjal jelas semakin meningkat dan tidak mudah untuk Nur Dhabitah apabila pada penampilan terakhirnya di Kejohanan Akuatik Dunia Doha 2024 sekadar mengumpul 238.15 mata.

Sementara itu, Pengarah Teknikal skuad terjun negara Bryan Nickson Lomas berkata kehadiran Nur Dhabitah pada saat akhir dapat membantu mengurangkan tekanan dihadapi Bertrand Rhodict selain yakin kedua-dua atlet muda dan berpengalaman itu mampu ‘menyokong’ satu sama lain.

“Sasaran kita mesti nak tengok (mereka) di final tetapi sekarang lebih selesa rancang satu langkah dulu. Fikir pusingan kelayakan, selepas itu ke separuh akhir, dan kemudian ke final,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Sebagai rekod, Datuk Pandelela Rinong Pamg muncul atlet wanita pertama Malaysia memenangi pingat di Sukan Olimpik selepas meraih gangsa acara 10m platform wanita pada edisi 2012 di London, manakala edisi Rio 2016, beliau yang bergandingan dengan Cheong Jun Hoong meraih perak dalam acara 10m platform seirama.

-BERNAMA

 


Pengarang :