Yang Dipertua Sepang Dato’ Abd Hamid Hussain (kiri) dan Timbalan Yang Dipertua Sepang Muhamad Shah Osmin pada sidang media di Bilik Semarak Majlis Perbandaran Sepang pada 3 Januari 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MPSepang terima 8,000 bantahan cukai taksiran, sesi pendengaran 14 Ogos

SEPANG, 26 JULAI: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) menerima hampir 8,000 bantahan kadar cukai taksiran baharu sehingga tarikh tutup permohonan semalam.

Yang Dipertuanya Dato’ Abd Hamid Hussain berkata sesi pendengaran bantahan itu akan diadakan selama tujuh hari bermula 14 Ogos depan membabitkan beberapa siri.

Bercakap selepas mempengerusi mesyuarat penuh di sini hari ini, beliau memaklumkan MPSepang menyerahkan senarai nilaian baharu dan menerima hampir 8,000 bantahan menerusi e-mel atau dihantar ke pejabat.

“Terdapat beberapa siri bantahan dijalankan bermula 14 Ogos dan jangka selesai sepenuhnya awal September. Dengan adanya nilaian baharu kita dapat pertingkat kemudahan infrastruktur awam berbanding sebelum ini perkhidmatan diberikan seminimum mungkin.

“Malah, kenaikan ini dijangka dapat menampung kenaikan peningkatan kos kerja pembersihan yang semakin meningkat sekali gus mengekalkan prestasi penyelenggaraan yang sedang dilaksana,” katanya.

Sebanyak lapan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak membuat semakan kadar cukai taksiran antara kira-kira 20 hingga 40 tahun lalu termasuk MPSepang selama 29 tahun sejak 1996.

Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) paling lama tidak menaikkan kadar itu selama 39 tahun sejak 1985, diikuti Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) 37 tahun sejak 1987 dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) 32 tahun sejak 1992.

Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pula tidak menaikkan cukai taksiran selama 32 tahun sejak 1992 bagi kawasan Subang Jaya dan Bandar Sunway. Manakala kawasan USJ, Puchong, Seri Kembangan dan Serdang selama 28 tahun sejak 1996.

Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) pula selama 27 tahun sejak 1997, manakala Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) 28 tahun sejak 1996.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pula tidak mengenakan sebarang peningkatan cukai taksiran selama 18 tahun sejak 2006.

Pada 30 Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan proses penilaian baharu yang dijalankan PBT penting demi memastikan keberkesanan perancangan bandar.

Menegaskan rumah kos rendah tidak dikenakan kenaikan meski menerima notis itu, beliau berkata semakan tersebut bertujuan mengetahui nilai dan mutu perbandaran sesebuah kawasan.

 


Pengarang :