Suasana sekitar Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 25 Julai 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sidang niaga Selangor beri peluang syarikat bumiputera bina rangkaian luas

KUALA LUMPUR, 27 JULAI: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) menyediakan platform jaringan dan meningkat profil perniagaan buat syarikat khususnya dalam kalangan bumiputera.

Pengurus Besar Neom Logistics Sdn Bhd Izzani Ashraff berkata SIBS turut memberi ruang untuk berkongsi idea dan maklumat bagi mengembangkan perniagaan lebih luas.

“Kali pertama Neom Logistics hadir ke SIBS, tertarik untuk sertai selepas melihat promosi dan hebahan dibuat melalui media sosial.

Pengurus Besar Neom Logistics Sdn Bhd, Izzani Ashraaf di Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 25 Julai 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Syarikat kami yang baru bertapak dalam tempoh lima tahun membekalkan tenaga kerja dan perkhidmatan logistik berpeluang mencipta hubungan dengan syarikat lain yang lebih maju,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Jualan & Pemasaran Seri Pajam Development Mohammad Syafareez Zainudin turut berkongsi pandangan sama SIBS mencipta ruang mengukuhkan rangkaian bersama syarikat antarabangsa.

“Syarikat kami yang terlibat dengan pembinaan hartanah sertai SIBS tahun buat kali kedua kerana sesi ‘networking’ penting untuk mengembangkan perniagaan.

“SIBS tahun ini kami selaku pempamer didedahkan dengan segmentasi rangkaian jaringan lebih besar membabitkan pelabur dan syarikat luar negara,” kongsinya.

Bagi pengunjung, Shazwani Abdul Razak, 25, SIBS merupakan platform buat syarikat menambah ilmu untuk memajukan perniagaan dengan lebih baik.

“Saya mengetahui SIBS ini melalui rakan sepejabat saya, jadi saya ke sini selain mencari rumah kerana bakal berkahwin tidak lama lagi turut ingin mempelajari berkaitan perniagaan,” ujar pekerja swasta itu.

Pengurus Besar Jualan & Pemasaran Seri Pajam Development, Mohammad Syafareez Zainudin di Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 25 Julai 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

SIBS yang diperkenal pada 2016 menarik penglibatan agensi kerajaan serta negara luar antaranya China, Indonesia, Japan, Uganda, Vietnam, Kazakhstan, Korea, Turki, Kenya dan Australia.

Tahun lalu, sidang bertaraf antarabangsa itu merekodkan nilai transaksi pelaburan RM6.12 bilion, meningkat empat kali ganda berbanding sasaran RM1.5 bilion.

SIBS sesi pertama melibatkan 285 reruai termasuk pempamer antarabangsa manakala siri kedua bakal berlangsung dari 16 hingga 19 Oktober membabitkan Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman), Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan), Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor.

Secara keseluruhan, sidang bertaraf antarabangsa yang menyediakan lebih 1,300 reruai menyasarkan potensi pelaburan RM7 bilion selain kehadiran 60,000 pengunjung dari 80 negara.


Pengarang :