SABAK BERNAM, 27 JULAI : Kerajaan Negeri berhasrat melancar kembali program SLIM Selangor bagi memupuk amalan gaya hidup sihat dan mengurangkan obesiti dalam kalangan rakyat.
EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin bagaimanapun berkata mekanisme pelaksanaannya sedikit berbeza berbanding sebelum ini yang hanya menumpu kepada penjawat awam.
“Kali ini kita lebih tumpu untuk anjurkan program SLIM Selangor di kawasan pangsapuri atau flat di sekitar Selangor dengan aktivitinya lebih kepada zumba dan senamrobik sebagai projek rintis. Kita jangka dalam tempoh sebulan dua ini ia akan dilaksana.
“Sasarannya lebih kepada penduduk di kawasan berkenaan bagi menggalakkan amalan gaya hidup sihat sekali gus mendidik mereka bagi mendapatkan dan mengekalkan berat badan ideal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Karnival 3S (Santai, Sihat, Sejahtera) di Pengkalan Sabak, Pekan Sabak di sini hari ini.
Mula diperkenalkan pada April 2019, program SLIM Selangor ketika itu menumpukan penjawat awam untuk mengamalkan gaya hidup sihat bagi mencapai berat badan ideal.