Keadaan lot kedai di Medan Selera AU5 Lembah Keramat yang terbakar awal pagi 27 Julai 2024. Foto Facebook Juwairiya Zulkifli
ADNSELANGOR

Penyelaras DUN Hulu Kelang santuni peniaga medan selera terbakar

SHAH ALAM, 27 JULAI: Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang meninjau Medan Selera AU5 Lembah Keramat yang terbakar awal pagi tadi selain menyantuni peniaga terlibat.

Juwairiya Zulkifli berkata beliau akan menyusuli rapat insiden yang memusnahkan 12 lot gerai itu bagi membantu peniaga terjejas.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang Juwairiya Zulkifli (kiri) menyantuni peniaga yang terjejas akibat kebakaran Medan Selera AU5 Lembah Keramat pada 27 Julai 2024. Foto Facebook Juwairiya Zulkifli

“Takziah saya ucapkan kepada mangsa kebakaran. Saya telah memaklumkan kepada Dato’ Menteri Besar (Dato’ Seri Amirudin Shari) selaku ahli parlimen kawasan dan Yang Dipertua MPAJ (Majlis Perbandaran Ampang Jaya) Dr Ani Ahmad.

“MPAJ akan membantu mengenal pasti lokasi tapak niaga sementara untuk mereka, di samping tidak mengenakan sebarang sewa kepada peniaga terlibat dalam tempoh tersebut,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu, Juwairiya meninjau tapak insiden yang dikatakan berpunca daripada kebocoran gas di salah satu lot sehingga memusnahkan 80 peratus premis namun tidak melibatkan kemalangan jiwa.

Menurut beliau, jentera bomba dari Ampang, Pandan dan Wangsa Maju bergegas ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.


Pengarang :