Pengunjung memilih buku ketika Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor (SCBF) 2024 yang berlangsung di Kompleks PKNS, Shah Alam pada 27 Julai 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR
BERITA UTAMASELANGOR

Pesta buku kanak-kanak tawar promosi menarik, cungkil bakat seni

SHAH ALAM, 27 JULAI: Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor 2024 di Kompleks PKNS di sini menawarkan promosi menarik dengan potongan harga dan jualan lelong.

Ketua Bahagian Unit Korporat Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) berkata hampir 100 pempamer bakal menawarkan promosi pada hari terakhir penganjuran.

Ketua Unit Bahagian Korporat PPAS Zafrullah Aris

“Sejak penganjuran bermula Rabu lalu, kita menerima kehadiran pengunjung luar biasa berbanding kali pertama tahun lalu dan pada hari ini juga ibu bapa hadir seawal jam 9 pagi untuk membawa anak-anak.

“Bukan itu sahaja, kita juga menyediakan 20 cabutan bertuah setiap hari dengan masing-masing berpeluang menang RM500, mereka hanya perlu berbelanja sekurang-kurangnya RM30,” kata Zafrullah Aris ketika ditemui.

Mengulas lanjut, beliau berkata PPAS membuat kelainan tahun ini dengan menyediakan zon komik selain memperluas ruangan ilustrasi khusus untuk kanak-kanak yang meminati bidang lukisan.

“Menerusi zon komik ini kita bawa karya-karya yang mula tenggelam dengan kewujudan kartun-kartun moden. Dengan adanya pesta buku ini, kita mahu menjadi platform untuk kembalikan semula nostalgia karakter kartun lama.

“Selain itu, kita perluaskan ruangan ilustrasi kerana maklum balas diterima tahun lalu amat baik sekali gus dapat cungkil bakat muda di peringkat awal,” katanya.

Pempamer memakai maskot di reruai zon sekolah rendah dan menengah ketika Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor (SCBF) 2024 yang berlangsung di Kompleks PKNS, Shah Alam pada 27 Julai 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Pesta buku anjuran PPAS menawarkan pelbagai jenis buku dengan diskaun menarik selain dimeriahkan aktiviti seisi keluarga seperti mewarna, melukis dan pelbagai persembahan.

EXCO belia ketika ditemui pada majlis perasmian memaklumkan usaha semua pihak penting dalam memupuk budaya membaca buku golongan muda dan kanak-kanak sekali gus melahirkan generasi berpengetahuan.

Najwan Halimi menjelaskan membaca buku akan menghasilkan insan seimbang yang mampu berfikiran kritis dan berpengetahuan serta memberi kesan dalam segala tindakan mereka.

 


Pengarang :