BUDAYARENCANA

Persiapan seorang eseis

Oleh Azrin Fauzi

Saya tidak pandai berlakon. Memang tidak reti berlakon. Tetapi saya pandai menulis. Lebih-lebih lagi menulis esei. Semua orang pun boleh menulis esei. Atau paling tidak, berlakon sebagai seseorang yang ingin melaksanakan kerja karang-mengarang esei. Itu sudah pasti. Sepertimana pastinya saya yang akan menuliskan tentang teater yang ditonton tempoh hari. Judulnya sebuah homaj kepada buku tentang seni lakon tulisan Konstantin Stanislavski, An Actor Prepares.

“Stanislavski dah mati, sayang. Method acting membunuhmu,” luah Nina (lakonan Fazleena Hishamuddin) kepada suaminya, Saddiq Saufy (Aloy Paradoks) yang sedang mempersiap diri untuk melakonkan watak Hamlet dalam teater Persiapan Seorang Aktor. Naskhah tulisan Saat Omar ini telah diarahkan oleh Syahrul Musa, dipentaskan di Studio Sedar Ruang dari 27 hingga 30 Jun 2024 yang lalu. Naskhah ini bukan sahaja memaparkan pergelutan watak Saddiq Saufy yang sedang menjadi Hamlet malah mengaksikan—atau mengajar, sebetulnya—pendekatan melatih dan menyiapkan aktor kepada kita sebagaimana Stanislavski “mengajar” dengan buku monumentalnya itu: “Boleh kaurenggut nyawa Raja tanpa pedang, dan boleh kaunyalakan api tanpa mancis. Yang mampu kaumarakkan hanyalah imaginasi.”

Saddiq Saufy benar-benar berimaginasi untuk mencari watak Hamlet yang ingin dia pegang, yang ingin dia jadi. Betapa dia benar-benar ingin menjadi Hamlet. Tegasnya, “It’s not just a character, Nina. It’s Hamlet! Dia ada dekat luar sana! Dia hidup! Macam Alang, Tok Perak, Oedipus, Agamemnon. Dia ada dekat luar sana. Saya kena cari dia, Nina. Rasakan sengsara dia.” Imaginasi yang bersilang dengan watak-watak ciptaan Syed Alwi, Sophocles, dan Aeschylus ini jugalah yang memejalkan obsesi sebelum menggila. Sehingga sanggup sengsara (demam sehingga tidak mampu untuk menghadiri sesi latihan sedangkan pementasan lagi dua minggu). Untuk enggan makan adalah untuk menafikan keperluan asas manusia seterusnya menanggung derita. Tegasnya lagi, “Saya tak boleh makan! Tak perlu makan! Saya kena menderita fizikal dan mental untuk watak saya—Hamlet!”

Bagaimana lakonan mampu memukau kita, membuat kita percaya? Apa yang menjadikan lakonan seseorang peran itu “lakonan”? Dan jika lakonan itu “lakonan,” apa yang menjadikan kebenaran yang ingin disampaikan itu “kebenaran”—atau Kebenaran? Saya tertawa tatkala mulai percaya, bilamana Nina berbalas-balas dialog dengan Saddiq Saufy dengan baris-baris ayat daripada teks drama tulisan William Shakespeare. Bersama-sama membawa kegilaan untuk mendalami—langsung mengalami—‘dunia’ si suami. Kegilaan yang bertitik temu antara “hanya seorang pelakon pentas yang faham pelakon pentas yang lain” dengan “hanya seorang isteri pelakon pentas yang faham suami pelakon pentas.”

Seminggu setelah menonton teater lain tulisan Saat Omar (berjudul Say Sayang!), saya temui lagi dinamik gender dalam hubungan lelaki-perempuan yang melangkaui pasangan suami-isteri ini dalam Persiapan Seorang Aktor. Di mana pasangan yang dihidupkan dalam sesebuah drama pentas sering sahaja berdialog dengan gerak kerja drama pentas itu sendiri; menjadi obsesi dan kegilaan Saat Omar selaku seorang dramatis setakat ini.

“Mengapa daging yang pejal itu tidak mencair menjadi embun?”

Aksi Nina memandikan Saddiq Saufy yang tidak lagi larat berbuat apa-apa bukan sahaja tindak untuk membersihkan dia malahan tindak mempersiap suaminya itu sebagai seorang aktor. Mana mungkin adegan tab mandi ini akan kering di ingatan saya. Malah akan kekal berbuih-buih dengan kasih sayang seorang isteri, dengan jenaka si suami. Rekaan set oleh Hafshizan Hashim ini mengesankan.

Dan ruang kecil Studio Sedar Ruang (hanyalah lot atas rumah kedai) semahu-mahu dimaknakan oleh Hamzah Tahir selaku sinografer. Di mana apabila para perannya menjengah ke luar tingkap, selain membataskan ruang dalaman-luaran, kita percaya dan mengimaginasikan dunia di luar apartmen mereka. Di mana ketika Nina merajuk (sebelum pulang kembali ke pangkuan suami, kerana dia juga sama pentingnya untuk mempersiap aktor) lantas melangkah melintasi kita selaku audiens untuk ke pintu keluar di belakang seraya berbalas-balas laungan dengan suaminya di depan, langsung menyedarkan: sedari awal pementasan lagi kita sudah pun berada di dalam ruang intim pasangan ini. Sehinggalah tingkap dan pintu keluar ini memaknakan kedatangan watak pengarahnya, Razak Stanislavski (lakonan Syahrul Musa yang juga pengarah Persiapan Seorang Aktor ini sendiri) sebelum dirinya muncul di hadapan kita lagi!

Dan pengarah (Syahrul Musa) yang menggalas watak pengarah (Razak Stanislavski) ini memberatkan lagi obsesi dan kegilaan—dengan jenaka pintarnya (penuh witty!)—dalam membolakbalikkan dinamik pasangan ini dengan gerakerja drama pentas yang sedang mereka nafasi, sedang mereka alami. Jelas Razak Stanislavski, “Masa depan teater Malaysia terletak di atas bahu Saddiq Saufy. Sekarang ni dia sakit, jadi masa depan teater Malaysia terletak di atas bahu Nina.” Tuan direktor hadir untuk persembahkan realiti kepada kita: poster teater yang terpampang wajah Saddiq Saufy sebagai Hamlet telah melonjakkan jualan tiket sehingga balik modal (yang berbalik kepada keadaan panggung penuh lagi sesak pada malam saya menonton itu dan kami turut diberitahu bahawa jualan tiket untuk malam berikutnya sudah habis dijual); selain beras yang sudah habis (realiti kebanyakan anak wayang berbakat yang sentiasa mendahulukan seni daripada diri). Kata Saddiq Saufy, “Saya memang mahu dimudaratkan, Nina. Saya rela sengsara demi seni saya.”

“Bertindak atau tidak—itu persoalannya. Apakah lebih mulia menanggung derita batin oleh pahlawan bertubi dan panahan nasib buruk yang jahat? Atau tegak berdiri menentang lautan bencana, lalu menghapuskannya?…” Sebetulnya senandika Hamlet (terjemahan Ahmad Yatim) yang dilafazkan oleh Hamlet-Saddiq-Aloy ini benar-benar mendiamkan kami. Sebetulnya baris-baris “to be or not to be” ini untuk mereka—untuk menjadi.

Saya tidaklah pandai berlakon. Masih tidak reti berlakon. Tetapi saya pandai menulis. Lebih-lebih lagi menulis esei; mengartikulat rasa dan fikir dengan suara peribadi (kalaupun keperibadian ciptaan). Saya tidak pernah berlakon (benarkah?) dalam melaksanakan kerja karang-mengarang esei—tentang teater yang ditonton, tentang seni lakon. Kerana Persiapan Seorang Aktor bukannya persiapan seseorang yang ingin melaksanakan lakonan semata-mata. Persiapan Seorang Aktor ialah persiapan kita semua. Persiapan untuk memahami, menjadi manusia dengan peranan masing-masingnya—persiapan untuk memanusia.


Pengarang :